Video: Kemahiran Sosial (Pengenalan dan Bahagian 1-6)

Kemahiran sosial merupakan satu kemahiran berinteraksi yang efektif dan memberi impak dalam masyarakat demokratik. Terdapat enam kemahiran sosial yang wajar dipelajari oleh rakyat. Sila tontoni video kami untuk maklumat lanjut.
Ikuti kami di YouTube

KEMAHIRAN SOSIAL (PENGENALAN)
KEMAHIRAN SOSIAL (BAHAGIAN SATU)
KEMAHIRAN SOSIAL (BAHAGIAN DUA)
KEMAHIRAN SOSIAL (BAHAGIAN TIGA)
KEMAHIRAN SOSIAL (BAHAGIAN EMPAT)
KEMAHIRAN SOSIAL (BAHAGIAN LIMA)
KEMAHIRAN SOSIAL (BAHAGIAN ENAM)

Video: Menjadi Seorang Rakyat yang Bertanggungjawab

Ingin menjadi seorang rakyat yang bertanggungjawab tetapi tidak tahu bagaimana nak mula? Sila tonton video kami di bawah untuk maklumat lanjut!
Ikuti kami di YouTube

Want to be a responsible citizen but do not know where to start? Watch these videos to know more and take actions now!
Follow us on YouTube

Menjadi seorang Rakyat yang Bertanggungjawab
Becoming A Responsible Citizen

Video: Cara Mengundi yang Bertanggungjawab

Setiap undi memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan negara dan kehidupan seharian kita. Gaji kita, kemudahan awam, kelajuan internet, semuanya boleh diubah jika kita pergi mengundi! Tidak percaya? Sila tonton video kami di bawah untuk maklumat lanjut!
Ikuti kami di YouTube

Every vote plays a big role in shaping the nation’s future and our daily lives. Our salaries, public facilities, internet speed, all can be changed if we go out to vote! You find this unbelievable? Please watch the video below for more info!
Follow us on YouTube

Cara Mengundi yang Bertanggungjawab
How to Vote Responsibly

Kenapa Undi Percaya Penting? (01 September 2021)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (REFSA) dan rakan penyelidik CIVICA Research

“Usul undi percaya ini dapat mengembalikan kepercayaan rakyat …”

Saya membaca ulasan Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz mengenai “Undi percaya PM bukan untuk beri pengesahan perkenan Agong” di Malaysiakini pada 22 Ogos 2021. Meskipun penerangannya agak jelas, namun saya berpendapat pandangan tersebut perlu diteliti semula dalam spektrum yang lebih luas, khususnya dalam memahami konteks politik pada hari ini.

Apa yang membimbangkan adalah pandangan pakar perlembagaan mempunyai jurang yang begitu besar dengan realiti sebenar, seolah-olah tidak mengambil kira aspirasi rakyat yang mahu pandangan segar untuk mengatasi krisis politik negara secara demokratik.

Beliau menyatakan bahawa parlimen tidak mempunyai peranan dalam mengesahkan pelantikan Perdana Menteri yang telah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Shamrahayu turut menekankan bahawa undi percaya tidak terkandung dalam perlembagaan persekutuan dan iai tidak mengikat sehingga ia menjadi undang-undang yang diperakui mahkamah.

Secara umumnya, dakwaan Shamrahayu yang mengatakan parlimen tidak boleh mengesahkan pelantikan Perdana Menteri oleh YDPA tidak timbul. Hakikatnya, semua parti politik di Malaysia telah menerima proses pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri atas perkenan YDPA.

Untuk mendakwa undi percaya tidak perlu dilakukan kerana tidak termaktub dalam perlembagaan adalah satu hujah yang sangat tempang. Kalau difikirkan secara logik, penggunaan surat akuan bersumpah (SD) dalam memilih Perdana Menteri juga tidak termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.

Cuma, krisis politik di Perak pada tahun 2009 telah meletakkan duluan (precedent), membenarkan penggunaan akuan bersumpah (SD) bagi memilih Menteri Besar atau Perdana Menteri sehingga hari ini. Amalan yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dato’ Sri Najib Razak ketika itu,  telah menimbulkan pelbagai keraguan dalam kalangan rakyat kerana prosesnya didakwa tidak telus, mudah dimanipulasi, dan meminggirkan fungsi parlimen itu sendiri.

Kita harus memahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ala Westminster. Peranan utama parlimen Westminster adalah sebagai “provider to the government’ atau membentuk kerajaan demokratik. Ahli parlimen yang dipilih menerusi pilihan raya perlu menentukan pihak mana yang mempunyai kepercayaan membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri.  Semangat ini yang menatijahkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Maka, undi percaya adalah amalan biasa berdasarkan konvensyen parlimen bagi memastikan kerajaan mempunyai kepercayaan meneruskan pentadbiran negara.  Di parlimen Malaysia, undi percaya sudah dilakukan sebanyak dua kali, iaitu ketika Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi pada tahun 1976 dan 2003.

Persoalannya, mengapa undi percaya ini begitu penting untuk dibentangkan Dato’ Sri Ismail Sabri di parlimen?

Pertama, untuk memastikan jemaah menteri yang dibentuk Perdana Menteri benar-benar berfungsi. Ahli parlimen perlu menilai sejauh mana kemampuan kabinet dibentuk Ismail Sabri untuk menjalankan tadbir urus negara. Ia penting bagi mengelak kesilapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentuk kabinet begitu besar tetapi gagal mentadbir negara.

Sekiranya Ismail Sabri mahu mengekalkan kepercayaan parlimen, maka beliau perlu memikirkan sebuah kabinet yang berfungsi dan berintegriti. Jika tidak, beliau akan mendapat tekanan dalam usul undi percaya yang membolehkan kedudukannya goyah.

Kedua, undi percaya juga penting bagi mewujudkan persepsi orang awam bahawa parlimen dan kerajaan bersedia bekerjasama untuk mengatasi cabaran dihadapi negara. Apabila Perdana Menteri mempunyai kepercayaan parlimen di, maka segala keputusan dibuat kerajaan bertambah kukuh dan memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan.

Usul undi percaya ini dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap fungsi demokrasi berparlimen yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan Muhyiddin Yassin.

Apa yang penting, usul undi percaya ini telah ditegaskan oleh YDPA dalam kenyataan media pada 18 Ogos 2021. Tuanku menyatakan Perdana Menteri perlu membawa usul undi percaya bagi ‘mengabsahkan beliau (Perdana Menteri) mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’.

Ini membuktikan bahawa YDPA turut mengiktiraf peranan parlimen dalam proses pelantikan Perdana Menteri.  Maka, apakah dakwaan Shamrahayu dan mereka yang menyatakan undi percaya tidak perlu dibawa ke  parlimen adalah untuk menidakkan kebjiksanaan budi bicara YDPA dalam menjalankan tugasnya?

Hakikatnya, parlimen adalah institusi penting dalam menyelesaikan masalah politik negara. Dalam keadaan demokrasi 50-50 di Malaysia, di mana tiada gabungan parti politik mampu membentuk majoriti dua pertiga, parlimen akan menjadi medan kerjasama dwipartisan yang akan menentukan kestabilan politik negara untuk masa akan datang.

Menyedari situasi ini, apakah rakyat Malaysia tidak layak menerima ulasan segar dan inklusif daripada pakar perlembagaan? Ya, tentu sekali mereka layak. Tetapi, sejauh manakah perubahan ini dapat disambut baik oleh pakar perlembagaan dan pengulas politik yang lain?

Suka saya memetik pandangan Steven Levitsky dan Daniel Ziblatt, profesor Sains Politik dan Pentadbiran, Universiti Harvard dalam buku mereka How Democracies Die yang menyebut bahawa usaha pemimpin dan rakyat mempertahankan perlembagaan negara perlu diikuti dengan amalan nilai-nilai demokrasi. Tanpa nilai demokrasi ini, semak dan imbang terhadap perlembagaan sukar dilaksanakan dan pihak berkuasa akan menggunakan institusi rakyat dan undang-undang sebagai senjata politik untuk menumbangkan musuhnya.

Ini masalah yang berlaku dalam melihat kepentingan Undi Percaya. Pandangan pakar perlembagaan didakwa gagal melihat konteks yang lebih luas, seolah-olah meminggirkan nilai-nilai demokrasi, dan membaca perlembagaan secara literal tanpa menerapkan semangat yang terkandung dalam undang-undang tertinggi negara.

Pakar perlembagaan atau pemimpin negara tidak boleh sama sekali mendakwa demokrasi atau satu undang-undang itu sudah sempurna dan baik apabila ia mengikut kehendak mereka dan menafikannya ketika demokrasi tersebut tidak berpihak kepada golongan yang mereka tidak bersetuju.

Sudah tiba masanya analisis politik dan ulasan tentang perlembagaan Persekutuan mengalami perubahan untuk memperkukuhkan fungsi dan peranan demokrasi berparlimen di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan harus dibaca dengan mengambil kira konteks dan perubahan-perubahan baharu politik negara yang memerlukan pandangan ke hadapan agar kesilapan lampau tidak berulang.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 30 Ogos 2021)

Mampukah Anak Muda Mendominasi Parlimen? (05 JULY 2021)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (REFSA) dan rakan penyelidik Civica Research

“… penglibatan anak muda dalam sukarelawan dan aktivisme ketika pandemik telah membentuk pandangan mereka yang lebih luas dan memahami setiap cabaran dihadapi rakyat di lapangan. “

Pada 30 Jun 2021, Inter Parliamentary Union (IPU) menyambut Hari Parlimen Sedunia ke-132 bertemakan “I Say Yes to Youth in Parliament” (Saya sokong anak muda berada di parlimen). Tema ini agak menarik kerana ia bersifat pandang ke hadapan meskipun IPU mempunyai pelbagai legasi yang boleh diceritakan.

Sejak beberapa tahun yang lalu, perdebatan mengenai penglibatan anak muda di dalam parlimen menjadi wakil rakyat semakin diterima ramai, khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 119 bagi  menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan menjadi pengubah keadaan politik negara.

Situasi politik negara yang masih di takuk lama telah mendorong anak muda menyertai politik supaya masa depan mereka  tidak lagi ditentukan oleh pemimpin politik yang lemah.

Hakikatnya, jumlah ahli parlimen muda di Dewan Rakyat ketika ini masih lagi rendah. Berdasarkan komposisi Dewan Rakyat, hanya 12 peratus daripada 222 ahli parlimen di bawah usia 40 tahun dan hanya dua ahli parlimen yang berusia bawah 30 tahun, iaitu ahli parlimen Muar dan Batu.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2020, umur penengah di Malaysia adalah 29.2 tahun. Ia bermaksud separuh daripada populasi di Malaysia adalah golongan berumur 30 tahun ke bawah, tetapi jumlah wakil rakyat di parlimen tidak menggambarkan demografi sebenar.

Maka, perkara ini perlu ditambahbaik dengan segera. Persoalannya, mampukah anak muda mendominasi parlimen sedangkang krisis politik dan pandemik dilihat telah menjadi punca anak muda menjarakkan diri mereka daripada parlimen dan politik.

Perspektif Politik Baharu

Ada segelintir anak muda berhadapan dengan defisit kepercayaan terhadap institusi parlimen dan politik negara, lebih-lebih lagi ketika pandemik. Pertama mereka kecewa dengan institusi parlimen yang dilihat hanya tempat perebutan kuasa. Kedua, mereka muak dengan ahli politik  yang merendahkan dan sukar menerima pandangan anak muda secara terbuka.

Tetapi, pandemik juga telah membina perspektif baharu anak muda dalam menilai baik buruk situasi politik negara dengan lebih menyeluruh. Pertama, anak muda amat mementingkan politik berasaskan fakta dan sains berbanding seni politik kosong yang tidak berdasarkan fakta dan bersifat populis.

Kedua, pandemik telah membentuk kumpulan anak muda cenderung membincangkan isu-isu dasar seperti kelestarian alam sekitar, pendidikan, ekonomi, dan kesihatan yang memberi manfaat kepada semua pihak berbanding politik sentimen dan identiti.

Ketiga, penglibatan anak muda dalam sukarelawan dan aktivisme ketika pandemik telah membentuk pandangan mereka yang lebih luas dan memahami setiap cabaran dihadapi rakyat di lapangan.

Meskipun ada anak muda lebih selesa membuat kerja lapangan dan kebajikan sebagai platform terbaik untuk membantu rakyat, bukankah ia lebih baik sekiranya anak muda menggunakan semangat aktivisme yang ada dengan menjadi ahli parlimen bagi merangka dasar negara yang boleh membantu berjuta rakyat Malaysia?

Perubahan-perubahan ini adalah satu perkembangan yang baik dan dakwaan bahawa anak muda ‘kurang makan garam’ sudah tidak relevan.  Anak muda juga seharusnya berjiwa besar dan melihat diri mereka sebagai harapan utama rakyat dan negara untuk bangkit daripada krisis yang masih tidak menentu.

Perubahan Yang Perlu Dilakukan

Langkah untuk meramaikan anak muda di dalam parlimen perlu dimulakan dengan ‘meremajakan’ pendekatan parti politik itu sendiri. Pemimpin muda harus menjadi barisan hadapan parti politik dan diletakkan di kawasan yang berpotensi menang dalam pilihan raya.

Tidak ada jalan pintas kepada anak muda untuk mendominasi parlimen. Suka atau tidak, orang muda perlu bersaing dalam pilihan raya demi menempatkan diri mereka di dalam parlimen. Kalah atau menang adalah adat pertandingan, tetapi anak muda perlu menawarkan sesuatu yang baik untuk meyakinkan rakyat.

Apabila rakyat menerima idea anak muda dan menterjemahkan ia dalam bentuk undi dengan memenangi pilihan raya, ia sudah cukup membuktikan anak muda mempunyai mandat untuk memimpin negara dan mampu membungkam politik lapuk yang sering menyakitkan hati rakyat.

Saya yakin, parti politik atau mana-mana organisasi yang bersikap terbuka kepada anak muda sebenarnya mampu memenangi  pilihan raya dan membentuk kerajaan yang lebih berfungsi untuk mentadbir negara.

Tetapi, perlu ditegaskan bahawa menambah kuota dan jumlah wakil rakyat muda di parlimen bukanlah indikator tunggal yang menunjukkan politik Malaysia sudah matang. Realinya, ada segelintir pemimpin muda yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat akhirnya menggunakan kedudukan untuk terpalit dengan rasuah, berfikiran politik lama, dan sanggup menggadaikan prinsip dan maruah demi merebut jawatan sehingga meminggirkan mandat rakyat.

Apa yang lebih penting adalah kita perlukan seramai mungkin pemimpin muda yang jujur dan mampu menyampaikan idea segar demi membina Malaysia yang lebih baik, khususnya dalam fasa pemulihan pandemik. Rakyat kini mula sedar hanya anak muda satu-satunya harapan yang mereka ada untuk membetulkan hala tuju negara yang kian celaru akibat krisis pandemik dan politik.

Sistem demokrasi berparlimen juga perlu peka kepada anak muda dan bersedia menerima perubahan dengan menyediakan lebih banyak ruang kepada anak muda terlibat dalam proses membuat dasar, tidak kira sama ada dalam sesi libat urus dan siasatan di peringkat jawatankuasa pilihan khas. Anak muda ini perlu dipandang sebagai rakan strategi parlimen dan kerajaan dalam tadbir urus negara dan bukan hanya melibatkan diri untuk mengundi pada pilihan raya sahaja.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di SOLIDARITAS pada 05 July 2021)

Video: Mengapa Kita Mesti Mengundi

Setiap undi memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan negara dan kehidupan seharian kita. Gaji kita, kemudahan awam, kelajuan internet, semuanya boleh diubah jika kita pergi mengundi! Tidak percaya? Sila tonton video kami di bawah untuk maklumat lanjut!
Ikuti kami di YouTube

Every vote plays a big role in shaping the nation’s future and our daily lives. Our salaries, public facilities, internet speed, all can be changed if we go out to vote! You find this unbelievable? Please watch the video below for more info!
Follow us on YouTube

Mengapa Kita Mesti Mengundi
Why Should We Vote

Video: Elemen-Elemen Demokrasi

Seringkali kita mendengar perkataan demokrasi. Tetapi, apakah maksud sebenar demokrasi? Kita boleh mula dengan memahami elemen-elemen demokrasi. Sila tonton video kami di bawah untuk maklumat lanjut!
Ikuti kami di YouTube

We often hear the word democracy. But, what does democracy really means? We can start by understanding the elements of democracy. Please watch the video below for more info!
Follow us on YouTube

Elemen-Elemen Demokrasi
Key Elements of Democracy

Mampukah Muhyiddin Bertahan? (28 April 2021)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) dan rakan penyelidik Civica Research

Seramai 68% responden mengakui ekonomi mereka kian terjejas dan hanya tujuh peratus berpendapat ekonomi masih tidak berubah.

Tentunya, tinjauan Merdeka Center yang menyatakan 67% rakyat di Semenanjung menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri memberi lonjakan moral kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pemimpin PN, baik di nasional dan akar umbi mungkin tersenyum melihat angka-angka tinjauan ini menunjukkan kestabilan Muhyiddin mentadbir negara.

Di sebalik berita positif buat Muhyiddin dan PN, 46% rakyat dalam tinjauan ini menyatakan Malaysia menuju arah yang salah. Indikator yang menyebabkan rakyat berfikir sedemikian adalah kerana ketidakstabilan politik (27.3%), keadaan ekonomi merudum (15.5%), dan pentadbiran lemah (7.9%). Manakala 41% menyatakan negara berada di arah yang betul kerana pentadbiran kerajaan yang baik (21.3%) dan faktor keberkesanan kerajaan memberi bantuan kebajikan kepada rakyat (10.4%).

Secara umumnya, kepuasan rakyat terhadap pentadbiran Muhyiddin agak bercampur baur atau tidak jelas. Perkara ini berlaku apabila ramai yang melihat negara menuju ke arah yang salah tetapi masih memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Jadi, apakah penjelasan yang boleh dibuat untuk memahami trend ini?

Jurang Persepsi Ekonomi Dan Politik Luas

Dalam tinjauan ini, masalah ekonomi merupakan kebimbangan utama rakyat merentasi etnik dan latar belakang sejak setahun yang lalu. Seramai 68% responden mengakui ekonomi mereka kian terjejas dan hanya tujuh peratus berpendapat ekonomi masih tidak berubah.  Jika ditambah kedua-dua peratusan ini, hampir 75% rakyat melihat keadaan ekonomi negara masih merudum.

Sebanyak 63% responden Melayu menyatakan ekonomi negara kian merudum sejak setahun yang lalu, iaitu lebih rendah berbanding responden Cina (76%) dan India (75%). Tekanan ekonomi ini lebih dirasai oleh responden di bandar, iaitu seramai 70% berbanding luar bandar yang mencatatkan 63% sahaja.

Ironinya, walaupun lebih 50% orang Melayu dalam tinjauan ini menyatakan ekonomi merudum, mereka masih memberi sokongan kepada kerajaan Muhyiddin (sebanyak 84%). Adakah ini bermaksud meskipun ekonomi masih teruk, orang Melayu masih menyokong Muhyiddin yang dilihat tidak responsif dalam menguruskan situasi negara pasca pandemik?

Situasi ini menunjukkan jurang persepsi yang melebar dalam isu ekonomi dan politik dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu. Ada beberapa perkara yang boleh menjelaskan situasi di atas. Pertama, kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan ketika krisis merupakan salah satu faktor sokongan kepada kerajaan makin kuat. Bagi mereka, hanya kerajaan yang dapat membantu mereka dalam keadaan getir ini.

Stephen Welt, ahli akademik daripada Universiti Harvad melihat “Covid-19 bakal mencipta masyarakat yang mempunyai kebebasan terhad pasca-pandemik (‘less free’ post pandemic society). Kawalan kerajaan hari ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang terpaksa bergantung kepada pemerintah, dan ia akan berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

Penjelasan ini mungkin memberi gambaran umum bahawa kebergantungan kepada bantuan kerajaan menjadi faktor yang menyebabkan rakyat, khususnya orang Melayu, menyokong Muhyiddin. Adakah situasi ini bermaksud semakin ramai rakyat tersepit dalam ekonomi, semakin bertambah sokongan terhadap parti kerajaan?

Namun, sokongan terhadap Muhyiddin akan diuji apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan tidak lagi cukup wang untuk menampung bantuan rakyat. Sebanyak RM 600 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi telah dibelanjakan bagi menangani krisis setahun yang lalu.

Ironinya, meskipun perbelanjaan kerajaan cukup besar,rakyat masih tidak merasai impak sebenar bantuan kerajaan dalam mengembalikan kegembiraan hidup mereka. Gaji graduan semakin rendah dan kadar pengangguran masih tidak berubah. Jadi, di mana sebenarnya wang kerajaan dihabiskan memandangkan ekonomi negara masih belum pulih dengan baik?

Kedua, saya berpendapat rakyat, khususnya orang Melayu, masih melihat isu ekonomi dan politik secara berasingan. Tanggapan yang melihat masalah ekonomi dan politik saling tidak berkait masih lagi kuat dalam kalangan rakyat.

Sedangkan secara teorinya, keadaan politik yang baik  dan kerajaan efektif akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Manakala, pentadbiran negara yang boros dan curang dalam menjalankan tadbir urus akan menjejaskan kedudukan ekonomi rakyat dan negara. Ironinya, tinjauan Merdeka Center menunjukkan sebaliknya. Mereka masih menyokong pentadbiran Muhyiddin walaupun ekonomi sekeliling masih parah.

Mampukah Muhyiddin Bertahan?

Walaupun tinjauan Merdeka Center menunjukkan sokongan Muhyiddin masih stabil, persoalannya, sejauh manakah Muhyiddin dan kerajaan PN mampu mempertahankan sokongan yang ditunjukkan rakyat melalui tinjauan Merdeka Center untuk tempoh seterusnya?

Rakyat masih kurang senang terhadap pentadbiran PN. Mereka merasakan pentadbiran Muhyiddin masih gagal menangani wabak COVID-19 sehingga terdapat dakwaan bahawa Malaysia akan menghadapi ‘gelombang keempat’ pandemik jika kes harian tidak surut.  Konflik dalaman kerajaan PN dengan UMNO hanya menambah kekecewaan rakyat yang kian tersepit akibat krisis ekonomi. Apakah ini petunjuk yang baik untuk Muhyiddin bertahan hingga tamat penggal pentadbirannya?

Muhyiddin dan kerajaan PN perlu sedar bahawa indikator sebenar yang mengukur prestasi parti politik adalah pilihan raya. Jadi, tinjauan ini bukanlah kemenangan mutlak yang mengatakan rakyat memberi sokongan penuh PN. Boleh jadi pada pilihan raya akan datang ia menjadi sebaliknya.

Harapan besar buat rakyat adalah untuk kembali menikmati kehidupan lebih baik. Begitu mustahak bagi setiap pemimpin sedar bahawa ketidakstabilan politik hari ini sebenarnya merugikan rakyat terbanyak. Tidak ada jalan pintas melainkan pemimpin negara kembali ke pangkuan rakyat dan membantu mereka membina semula kehidupan yang terjejas teruk akibat pandemik. Tetapi, adakah pemikiran ini sudah menjadi keutamaan pemimpin negara atau melihat tinjauan ini untuk menuju pilihan raya?

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insight pada 27 April 2021)

Parlimen belum juga guna teknologi setelah pandemik (24 Januari 2021)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) dan rakan penyelidik Civica Research

Dalam situasi sukar ini, kerajaan masih berfikir cara lama dengan meminggirkan peranan Parlimen yang sepatutnya dijadikan rakan strategik untuk membendung wabak Covid-19 secara bersama.

PANDEMIK Covid-19 memberi satu ujian besar kepada perjalanan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Oleh kerana perjumpaan fizikal secara beramai-ramai adalah sesuatu yang berisiko tinggi, maka persidangan Parlimen secara fizikal juga tidak selamat dan mudah terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19. 

Perkara ini telah menyebabkan ramai ahli Parlimen mendesak supaya parlimen dijalankan secara maya (virtual) ketika pandemik Covid-19 belum reda. 

Persidangan secara maya merupakan perkara baharu yang belum dieksprementasikan di parlimen Malaysia dan ia dilihat penting untuk memastikan parlimen kekal berfungsi pada waktu pandemik.

Namun, persidangan Parlimen secara maya kian mustahil selepas pengisytiharan darurat telah menggantung fungsi badan legislatif di peringkat persekutuan dan negeri. 

Keputusan terburu-buru ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan badan eksekutif dalam menjalankan pentadbiran tanpa semakan parlimen sepanjang tempoh darurat.

Malah, pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi komitmen untuk melaksanakan persidangan Parlimen secara maya dan ia tidak pernah dibahaskan oleh parlimen sejak dua persidangan yang lepas. 

Urusan Parlimen pada 2020 berjalan seperti “biasa” dengan SOP yang ketat serta waktu yang terhad.

Fokus kerajaan ketika itu hanyalah meluluskan Belanjawan 2021 selepas kedudukan majoriti PN tidak kukuh. 

Ketika kerajaan sedang meraikan kelulusan Belanjawan 2021, mereka tidak memikirkan usaha untuk membincangkan cadangan meminda Peraturan Mesyuarat untuk membenarkan persidangan secara maya. 

Apa yang lebih mengecewakan apabila kerajaan PN gagal membahaskan persiapan awal menghadapi gelombang Covid-19 seterusnya di Parlimen. 

Sikap optimis kerajaan PN yang bergantung kepada retorik Belanjawan 2021 dan kelemahan menjalankan tadbir urus negara menjadi faktor utama kes Covid-19 meningkat mendadak.

Dalam situasi sukar ini, kerajaan masih berfikir cara lama dengan meminggirkan peranan Parlimen yang sepatutnya dijadikan rakan strategik untuk membendung wabak Covid-19 secara bersama.

Kerajaan PN lebih gemar memilih pendekatan perutusan khas kerana ia bebas daripada tekanan Parlimen dan merupakan satu persembahan yang telah membelakangkan isu penting untuk membicarakan dasar ekonomi dan persediaan kerajaan untuk menambahbaik situasi rakyat dan negara. 

Amalan ini menonjolkan imej “perdana menteri bekerja keras” tetapi ahli Parlimen dilihat rakyat sebagai individu tidak melakukan tugas. 

Optik diberikan melalui perutusan khas ini telah menutup hakikat sebenar yang dihadapi ahli parlimen apabila tugas mereka telah disekat kerajaan PN dengan menggantung peranan Parlimen ketika pandemik Covid-19. 

Rakyat sebenarnya mahu melihat wakil rakyat mereka bekerja dan menyuarakan pandangan dan kritikan di Parlimen terhadap kelemahan tadbir urus kerajaan mengendalikan krisis pandemik dan ekonomi.

Institusi Parlimen bukan sahaja tempat untuk menyemak kejujuran kerajaan, tetapi ia turut membicarakn soal sokongan ekonomi dan kebajikan rakyat yang sering dilupakan kerajaan ketika membentuk sesuatu dasar dan program, terutama sekali kumpulan yang tidak bernasib baik dan berpendapatan rendah.  

Sebab itu persidangan secara maya dapat merancakkan lagi akses wakil rakyat untuk bersemuka dengan kerajaan secara terbuka untuk membawa isu rakyat untuk tindakan lanjut kerajaan secepat mungkin.  

Ironinya, pendekatan secara virtual telah digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan untuk mengadakan perjumpaan secara maya sama ada urusan dalam atau di luar negara. 

Parti-parti politik kerajaan menggunakan mesyuarat agung parti menggunakan pendekatan maya dengan beratus-ratus delegasi di seluruh negara. 

Badan kehakiman dan mahkamah di Malaysia mula mengadaptasi teknologi melakukan perbicaraan secara maya.

Namun, persidangan Parlimen secara maya masih lagi “mustahil” dilakukan pihak kerajaan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 

Tafsiran baharu tatacara Parlimen

Sering kali alasan sekatan peruntukan perlembagaan persekutuan dijadikan alasan untuk melengahkan parlimen mengadaptasi persidangan secara maya.

Sekatan tersebut bukanlah berpunca daripada kelemahan perlembagaan persekutuan mahupun peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi setiap tafsiran yang berkait dengan tatacara Parlimen perlu diubah, menggunakan pendekatan baharu yang memenuhi tuntutan semasa negara. 

Contohnya Perkara 62(5) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ahli Parlimen tidak hadir persidangan tidak dibenarkan mengundi.

Adakah ahli Parlimen yang menyertai persidangan secara maya tidak boleh mengundi kerana dianggap tidak hadir ke Parlimen secara fizikal? 

Tafsiran istilah “tidak hadir” boleh diperincikan lebih lanjut memandangkang konteks semasa telah berubah dan tidak bergantung kepada kehadiran fizikal semata-mata. 

Perkara 62(1) memberikan kuasa Parlimen menentukan tatacara sendiri dalam menguruskan persidangannya.

Jadi, kerumitan yang dinyatakan pihak kerajaan PN hanyalah satu alasan untuk menafikan hak ahli parlimen menguji keberkesanan rancangan dan pelakansaan mereka. 

Jika benar pihak kerajaan menghormati ketinggian Parlimen, mereka boleh sahaja membenarkan ahli parlimen membahas dan bersama-sama melakukan perancangan nasional bagi mengatasi Covid-19 secara strategik.

Ahli Parlimen perlu diberikan hak mengundi untuk menentukan keputusan terbaik buat kerajaan bagi megelakan kesilapan lama berulang. 

Semua perkara ini dapat dilakukan dengan segera sekiranya persidangan parlimen secara maya dapat direalisasikan sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020. 

Perkhidmatan Parlimen begitu penting ketika krisis. Meskipun kita harus akui bahawa pendekatan semak dan imbang secara maya mempunyai kelemahan, tetapi ia bukan satu alasan untuk kerajaan dan Parlimen melengahkan penggunaan teknologi dalam urusan Parlimen. 

Pendekatan teknologi ini bukan sahaja tertumpu kepada soal ketelusan terhadap kerajaan, tetapi ia merupakan satu integrasi antara kerajaan dan masyarakat bekerjasama menghadapi cabaran Covid-19. 

Kita harus akui Parlimen Malaysia masih jauh dalam mengadaptasi persidangan Parlimen secara maya.

Usaha mengadaptasi teknologi kepada institusi Parlimen perlu diperbahaskan secara rancak.

Ia tidak seharusnya tertumpu kepada krisis hari ini, tetapi melihat kepada persediaan Parlimen untuk menempuh cabaran pada masa hadapan. 

Peristiwa pihak kerajaan meminggirkan peranan Parlimen sewaktu pandemik tidak boleh diulang lagi agar ia tidak menyusahkan generasi akan datang.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insight pada 24 Januari 2021)

Adakah Covid-19 mengubah politik negara? (13 April 2020)

Fakhrurrazi Rashid, CIVICA Research Associate & Koordinator Program, Research For Social Advancement (REFSA)

Apakah destinasi Malaysia dalam aspek demokrasi dan ekonomi pasca-Covid-19 ini?

Covid-19 telah mengembalikan kuasa agak luas kepada parti pemerintah yang belum berhadapan dengan ujian sokongan majoriti di Parlimen, ujar Fakhrurrazi Rashid.

Pandemik Covid-19 sebenarnya telah memberi kesan kepada situasi politik dunia dan negara.

Meskipun ada yang cuba untuk melakukan ‘gencatan senjata’ dalam perbezaan politik waktu ini, tetapi realiti politik itu tidak pernah statik dan sentiasa bergerak.

International Crisis Group (ICG), sebuah badan pemikir di Belgium, menyatakan krisis pandemik Covid-19 memberi kesempatan kepada pemimpin kerajaan untuk meluaskan kuasa dan objektif mereka di peringkat antarabangsa dan politik domestik. Keputusan untuk menagguhkan pilihan raya, parlimen tidak berfungsi dan kawalan pergerakan ketika Covid-19 telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk bergerak lebih maju dari sudut kuasa politik tanpa semak dan imbang.

Stephen Welt, ahli akademik daripada Universiti Harvad melihat “Covid-19 bakal mencipta masyarakat yang mempunyai kebebasan terhad pasca-pandemik (‘less free’ post pandemic society). Kawalan kerajaan hari ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang terpaksa bergantung kepada pemerintah, dan ia akan berlanjutan dalam tempoh yang panjang. Manipulasi data dan informasi daripada pihak kerajaan boleh berlaku untuk mengawal tingkah-laku masyarakat.

Wolfgang Markel, pengarah Jabatan Demokrasi dan Pendemokrasian di Pusat Kajian Sains Sosial Berlin (WZB), menimbulkan dua senario yang boleh membentuk masyarakat ketika ini. Pertama, masyarakat akan hilang kepercayaan kepada sistem jika kerajaan gagal menangani krisis ini dengan baik. Kedua, kumpulan elit politik akan menggunakan pendekatan autokratik untuk menjayakan objektif mereka. Tambahnya lagi, situasi ini akan mencipta masyarakat yang berpandangan mereka tidak memerlukan parlimen atau demokrasi untuk mentadbir negara.

Disebalik kegelisahan ruang demokrasi yang terhad, Covid-19 telah mencipta solidariti antara masyarakat dunia untuk mengambil berat antara satu dan yang lain. Martin Voss, ahli Sosiologi daripada Universiti Berlin menyatakan keakraban dan solidariti kemanusiaan dalam keadaan yang menakjubkan ketika ini.

Namun, perbezaan kelas dan material boleh membawa kita kepada realiti ketidaksamrataan dari segi ekonomi yang membentuk rasa dan pemikiran yang berlainan ketika Covid-19. Voss menambah “mereka yang merasakan tidak dilayan dengan adil selama ini akan merasa bertambah tidak adil dan kumpulan selama ini mempunyai status akan rasa kelebihan mereka kian hilang”.

Hujah-hujah ini membawa kita kepada satu persoalan utama: adakah Covid-19 ini akan mengubah landskap politik Malaysia? Apakah destinasi Malaysia dalam aspek demokrasi dan ekonomi pasca-Covid-19 ini? Adakah nilai kemasyarakatan akan dibentuk ke arah menyokong kerajaan autokratik?

Pasca krisis yang berlaku di Malaysia akan mengukuhkan lagi parti pemerintah meskipun pun krisis telah memberi kesan buruk kepada rakyat. Reformasi 1998 meskipun memberi satu ledakan rakyat besar-besaran, Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir Mohamad kekal dipilih menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum 1999.

BN terus kekal memerintah pada tahun 2013 meskipun ekonomi negara dihimpit dengan Krisis Kewangan Dunia tahun 2009. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimulakan pada tahun 2012 telah menjadi dasar pendekatan lembut BN meraih sokongan rakyat. Pendekatan ini berjaya mengekalkan BN untuk satu penggal sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2018.

Perikatan Nasioanl juga telah menggunakann pendekatan yang sama seperti BR1M, dengan memberikan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Objektif utama BPN bukanlah menyelesaikan isu sebenar rakyat, tetapi sebagai mesej untuk menimbulkan keyakinan rakyat, melihat imej PN sebagai kerajaan yang seperti dipilih oleh rakyat.

Konsep ini dipanggil ‘balas budi’ daripada kerajaan dan sebagai balasannya, rakyat perlu menyokong kerajaan. Mengapa perkara ini masih berlaku meskipun kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil kerajaan pada 9 Mei 2018?

Berdasarkan buku How Democracies Die karya Steven Levitsky dan Daniel Ziblatt, usaha parti politik dan rakyat mempertahankan perlembagaan negara perlu diikuti dengan amalan nilai-nilai demokrasi. Tanpa nilai demokrasi ini, semak dan imbang terhadap perlembagaan sukar dilaksanakan. Pihak yang berkuasa akan menggunakan institusi rakyat, undang-undang dan media sebagai ‘senjata politik’ menumbangkan lawannya.

Kita mengakui PH telah melakukan pelbagai reformasi institusi dalam beberapa aspek urus tadbir negara. Tetapi, PH tertinggal dalam memperluaskan norma-norma demokrasi semasa pemerintahan. Reformasi institusi tanpa nilai demokrasi akan menggambarkan perubahan secara mendalam. Oleh sebab itu, sistem demokrasi negara hari ini masih sama dan mampu mengembalikan pemimpin politik autokratik bagi mengawal pandangan rakyat.

Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata (Bernama, 4 April 2020) “kalau orang menolak parti politik itu lazim, tetapi jangan sampai orang menolak kerajaan kerana akan berlaku ketidakstabilan dan sebagainya”.

Mesej ini jelas untuk menimbulkan rasa sebersalah kepada rakyat agar tidak mengkritik dan menolak kerajaan PN yang kini sedang membeli masa untuk menstabilkan kedudukan politik mereka.

Persoalan besar yang kita hadapi sekarang ialah isu ketelusan dan keterbukaan kerajaan PN dalam membuat keputusan. Begitu penting ketelusan ketika ini bagi memastikan keputusan dibuat adalah tepat dan tidak memanfaatkan hanya sebahagian pihak.

Tetapi, kerana tiada institusi perundangan yang berfungsi dengan baik buat masa ini, maka tiada sebarang semak dan imbang yang boleh dilakukan ke atas PN.

Dalam satu program di Astro Awani, Dzulkefli Ahmad, bekas menteri kesihatan, yang kini mengetuai Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor, memberitahu kerajaan negeri mempunyai akses data Covid-19 yang terhad daripada Kementerian Kesihatan. Tanpa data yang tepat, kerajaan negeri tidak boleh melakukan ikhtiar lain seperti memperluaskan ujian Covid-19 dan sasaran mikro.

Maklumat yang terhad ini daripada kerajaan persekutuan agak bercanggah dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mengetengahkan pendekatan kerajaan dan masyarakat menyeluruh.

Kerajaan persekutuan tidak boleh bertindak sendiri sekiranya mereka benar-benar mahu meredakan lengkok Covid-19 di seluruh negara. Kurangnya koordinasi dengan semua pihak berkepentingan bermaksud kerajaan persekutuan tidak komited bekerjasama secara serius dalam memerangi Covid-19.

Dengan situasi kawalan kerajaan PN hari ini, kita dapat rumuskan bahawa Covid-19 tidak mengubah politik negara ke arah yang lebih terbuka dan demokratik. Ia telah mengembalikan kuasa agak luas kepada parti pemerintah yang belum berhadapan dengan ujian sokongan majoriti di Parlimen. Semak dan imbang kepada kerajaan sama sekali tidak berlaku ketika krisis dan ini akan membuka risiko kepada ketirisan dan salah guna kuasa.

Walau bagaimanapun, kerajaan PN juga akan menempuh jalan sukar pada sidang parlimen 18 Mei nanti. Penilaian dan semakan kepada urus tadbir ketika Covid-19 akan menjadi agenda utama ahli Parlimen.

Terdapat risiko Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 tidak dapat diluluskan Parlimen disebabkan jumlah ahli parlimen PH dan PN agak nipis. Ketidakstabilan kerajaan PN boleh berlaku dan berkemungkinan pilihan raya umum akan dipanggil.

Politik tidak akan lari daripada persoalan “Who gets what, when and how?”dan pihak yang paling untung dalam krisis Covid-19 ialah BN, blok terbesar dalam PN.

Disebabkan Bersatu masih lagi tidak menentukan hala tuju parti dan kepimpinan, maka kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri boleh terjejas sekiranya pasukannya tewas dalam pemilihan dengan kem Mahathir. Ketidaktentuan ini memberi kesempatan kepada BN untuk bangkit sebagai parti pemerintah semula.

(This article was first published in Aliran on 13 April 2020.)