Refleksi Ksp Rmk-11: Pertingkat Inisiatif Bantuan Sosial Masyarakat Luar Bandar (27 Oktober 2018)

Muhd Fadhil Abdul Rahman, CIVICA Research Associate & Senior Research Officer, Merdeka Center

Sasaran pendapatan atau statistik kemiskinan yang menjadi kayu ukur, perlu diperhalusi dengan penglibatan agensi-agensi tempatan.

PENBENTANGAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 18 Oktober lalu seolah-olah telah jauh dari ingatan. Namun ia tidak bermakna isi pembentangan berkenaan boleh diketepikan begitu sahaja.

Walaupun idea asas yang terkandung dalam dokumen RMK-11 kelihatan mengulangi tonggak-tonggak terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat pada 9 Mei bertanggungjawab untuk menunaikan pelan yang wujud – dan diselaraskan dengan manifesto yang tertulis dalam kitab keramat, Buku Harapan.

RMK-11 adalah sebuah pelan strategik. Perancangan untuk memperlihatkan kemakmuran negara dalam jangka masa 2 tahun lagi, ditunjangi visi 2020 yang pernah dibawa Tun Dr. Mahathir ketika beliau bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.

Hakikatnya, kelompok sasaran RMK-11 masih sama dengan 10 siri RMK lampau. Golongan miskin dan kurang berkemampuan, lebih dikenali sebagai B40, menjadi tumpuan sekali lagi.

Merujuk kepada statistik keluaran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri – 200,766 kes kemiskinan (dalam kategori miskin dan miskin tegar) berlegar di seluruh negara pada penghujung Disember 2017. Dan dari jumlah tersebut, 59,924 kes (29.8%) adalah terdiri daripada golongan miskin tegar[1].

Lebih menyedihkan, apabila 73% daripada kelompok miskin tegar (43,834 kes) dilaporkan di Sabah dan Sarawak.

Berbalik kepada isi kandungan RMK-11, beberapa tonggak berkait rapat dengan permasalahan berhubung kemiskinan. Tonggak 2 (‘Memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat’), Tonggak 3 (‘Menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang’) dan Tonggak 4 (‘Memperkasa modal insan’) wajar diberi penelitian menyeluruh, khususnya dari aspek implementasi program dan bentuk bantuan yang diberi kepada warga Malaysia yang memerlukan.

Seiring dengan kata-kata yang dialunkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia kini perlu mendepani cabaran-cabaran sedia ada dengan pendekatan baru yang lebih telus dan berintegriti. Ini adalah masa untuk melunaskan hak rakyat kelompok miskin, yang sekian lama diketepikan secara sistematik dan diberi bantuan minima.

Sekiranya kerajaan Barisan Nasional yang memerintah dengan program bantuan sosial berbentuk kewangan, seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang ditagih rakyat, kerajaan terbaru Pakatan Harapan wajib mara ke hadapan dan bertindak secara lebih holistik.

Bantuan kewangan perlu disertai kemudahan dan keperluan asas yang wajib untuk sesebuah keluarga, tanpa mengenal latar belakang berbentuk demografi mahupun politik.

Bentuk bantuan yang pelbagai, harus disertai pemantauan yang sejajar dengan pemberian – demi melihat masyarakat yang ikhlas dalam menerima, syukur di atas kurniaNya.

Sasaran pendapatan atau statistik kemiskinan yang menjadi kayu ukur, perlu diperhalusi dengan penglibatan agensi-agensi tempatan. Manipulasi data yang acap kali berlaku tanpa tindakan untuk menampakkan keberhasilan kerajaan, adalah pendekatan yang cukup hina dan penuh nista.

Usah dilupa juga usaha untuk membangun kapasiti, bakat dan modal insan masyarakat miskin. Jikalau wang ringgit yang dihulur ibarat yang mengalir tidak disertakan pembinaan keupayaan, isu kemiskinan akan terus berterusan tanpa penyelesaian berpanjangan.

Kerajaan Barisan Nasional sememangnya berjaya dalam komponen perancangan nasional dan tempatan, dalam tempoh 60 tahun ia memerintah. Tetapi jurang pendapatan dan taraf hidup yang meningkat, kekurangan mekanisme semak-dan-imbang yang berkesan serta sikap individualistik sesetengah pihak di dalam agensi pelaksanaan menimbulkan isu-isu yang mengorbankan keselesaan hidup rakyat.

Maka dalam tempoh yang ada ini, menjelang tahun 2020 yang semakin menghampiri, kerajaan Pakatan Harapan sebaiknya mengambil kesempatan yang ada untuk mengubah kaedah membantu rakyat dengan aksi dan gerak kerja sehingga tak menang tangan – dan dari saat ini, berhenti menyalahkan kekurangan berzaman untuk mempertahan ketidakupayaan kendiri.


Related Links:

[1] http://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/statistik-ekasih-2017

(This article was first published on October 27, 2018.)

Mencipta kelas menengah baharu (1 May 2019)

Fakhrurrazi Rashid, CIVICA Research Associate & Koordinator Program, Research For Social Advancement (REFSA)

Hakikatnya, gaji permulaan graduan baharu bekerja semakin menurun.

PERKEMBANGAN positif ekonomi Malaysia pada tahun 1980-an dan 1990-an berjaya melahirkan golongan kelas menengah dengan pekerjaan dan kadar gaji yang setimpal dengan Dasar Pembangunan Negara yang telah mengubah struktur pekerjaan negara ke arah peningkatan produktiviti.

Walaupun ekonomi negara berkembang maju dua dekad lalu, golongan muda berpendidikan tinggi hari ini masih sukar mencapai status kehidupan kelas menengah.

Hakikatnya, gaji permulaan graduan baharu bekerja semakin menurun. Gaji permulaan graduan diploma menurun kepada  RM1,376 pada tahun 2018 berbanding RM1,458 pada tahun 2010, manakala gaji permulaan untuk pemegang ijazah sarjana pula RM2,707 pada tahun 2018 berbanding RM2,923 pada tahun 2010. Ini semua dapatan Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018.

Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyangkal dapatan ini dan menegaskan wujud peningkatan gaji graduan dari tahun 2010 hingga 2018. Apapun, pelbagai kajian dan laporan yang menunjukkan graduan dan pekerja muda berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Kajian pengesanan graduan 2016 mendapati kadar gaji bulanan yang diperoleh oleh graduan diploma sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 manakala graduan Ijazah Sarjana Muda mendapat sekitar RM1,000 hingga RM2,500.

Laporan Tahunan BNM 2015 menyatakan 54 peratus graduan mendapat gaji kurang daripada RM2,000 dan kadar gaji mereka secara umumnya tidak pernah berubah sejak 2007.  Malah Kajian Pengesanan Graduan juga menunjukkan majoriti graduan berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Pekerja muda berkelulusan SPM ke bawah juga merasai beban yang sama dalam usaha meningkatkan taraf hidup. Meskipun gaji pokok bulanan minimum benar mereka meningkat dari tahun 2010 hingga 2018, tetapi kadar gaji mereka masih rendah di bawah RM2,000 sebulan.

Hakikatnya, kelayakan pendidikan tinggi tidak lagi menjadi satu-satunya indikator untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Kajian Khazanah Research Institut (KRI) pada tahun 2016 mendapati 62 peratus pekerja muda mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding ibu bapa mereka. Tetapi, hanya 37 peratus daripada mereka mempunyai kemahiran yang melebihi ibu bapa mereka.

Gaji pekerja muda akan kekal rendah sekiranya tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan industri dan keadaan ini menyukarkan lagi impian untuk merasai kehidupan golongan kelas menengah.

Di Malaysia, golongan ini dirujuk sebagai M40 (pertengahan 40%) dengan purata gaji median sebanyak RM6,502. Malah, purata gaji pekerja muda juga kurang dua kali ganda daripada gaji median negara pada RM5,228.

Dengan kadar gaji yang rendah dibawah RM 3,000, pekerja muda sukar untuk memiliki rumah. Laporan Ekonomi 2019 menyatakan purata harga rumah meningkat 9.3 peratus berbanding pendapatan isi rumah, iaitu sebanyak 8.1 peratus.

Pelbagai skim bantuan perumahan untuk golongan belia, tetapi ia kurang berkesan. Contohnya, Skim Perumahan Belia (YHS) untuk membantu pasangan muda yang berkahwin dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 ke bawah bagi memiliki harga rumah pertama dibawah RM500,000. Sebanyak 20,000 tawaran diberikan, cuma 1,600 (8 peratus) permohonan yang diluluskan kerana majoriti pemohon tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Pertumbuhan ekonomi negara sedekad lalu benar-benar tidak dirasai oleh pekerja muda dalam bentuk kenaikan gaji. Struktur ekonomi negara yang dipacu oleh kemahiran sederhana dan rendah serta upah yang murah telah menghadkan kemampuan pekerja muda untuk mendapat gaji yang setimpal.

Ini menunjukkan mobiliti sosial dalam kalangan anak muda berlaku dengan perlahan. Laporan Bank Dunia 2014 menyatakan Malaysia mempunyai 51 peratus  golongan kelas menengah, tetapi 16 peratus daripadanya berpendidikan tinggi. Fakta ini memperjelaskan Malaysia mempunyai golongan kelas menengah ‘lama’ berbanding yang baharu.

Ke arah Kelas Menengah baharu

Malaysia memerlukan golongan kelas menengah baharu, terdiri daripada pekerja muda yang mempunyai pendapatan yang stabil dan jaringan keselamatan sosial yang kukuh. Kewujudan kumpulan ini akan menambah kemakmuran dan mengubah lanskap ekonomi negara.

Kerajaan perlu mempunyai satu perancangan atau ‘New Deal’ (Perancangan Baharu) bagi membuka ruang kepada orang muda menjadi golongan kelas menengah. Maka, apakah fokus utama ‘New Deal’ ini?

Pertama, memperkenalkan dasar meningkatkan kemahiran pekerja muda. Kerajaan perlu beralih daripada pemikiran lama, mengambil kira jumlah pekerjaan ditawarkan  kepada idea membentuk pekerjaan mengikut kemahiran dan bidang khusus. Langkah ini dapat menguruskan isu ketidakpadanan kerja dan kemahiran pekerja muda yang menyebabkan mereka mendapat gaji yang tidak setimpal dengan kemahiran mereka.

Kedua, dasar perumahan untuk pekerja muda perlu diperluaskan. Skim perumahan belia yang ada tidak mampu memenuhi kehendak pekerja muda. Cadangan seperti pemberian subsidi sewa rumah kepada pekerja muda, khususnya menetap di bandar, boleh menggantikan skim perumahan sedia ada. Ia harus tertumpu kepada golongan sasar, berpendapatan bawah RM 3,000 sebulan dan bilangan isi rumah. Kaedah ini membantu pekerja muda menyimpan pendapatan mereka untuk membeli rumah yang mereka mahukan dalam jangka masa panjang.

Ketiga, sistem pekerjaan Malaysia perlu distrukturkan semula dengan lebih dinamik, memberi penekanan kepada jaringan keselamatan sosial pekerja. MEF mendapati mereka yang bekerja sendiri kini sudah meningkat hampir 123% kepada 1.7 juta orang berbanding hampir 700,00 orang pada tahun 2010.

Mereka berhadapan dengan isu pendapatan yang tidak tetap dan tiada jaringan keselamatan sosial. Maka, ‘New Deal’ harus mengambil kira setiap individu yang bekerja mendapat manfaat agar pekerjaan mereka dapat menampung kehidupan mereka yang lebih stabil walaupun mereka yang bekerja sendiri.

Idea ‘New Deal’ bagi pekerja muda perlu diperluaskan dan mengalami perubahan mengikut kehendak terkini. Dasar ini bukan sahaja menjamin berlakunya mobiliti sosial ke atas pekerja muda, tetapi kaedah berkesan dan membantu orang muda keluar daripada golongan B40.

(This article was first published in Kolumnis Awani on May 1, 2019.)

Gaji Rakyat perlu berubah sebelum 2020 (19 Mac 2019)

Fakhrurrazi Rashid, CIVICA Research Associate & Koordinator Program, Research For Social Advancement (REFSA)

Laporan Bank Negara Malaysia 2017 menyaksikan hampir 40 peratus pekerja asing berada dalam sektor produktiviti rendah, di bawah RM100,000 iaitu dalam sektor pertanian dan pembinaan.

KES sindiket melibatkan 47 rakyat Malaysia ditipu ditawar pekerjaan sebanyak US$1,500 (RM6,000) sebulan di Kemboja mencerminkan keterdesakan rakyat untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang setimpal.

Pekerjaan dan gaji amat penting untuk ekonomi rakyat. Tidak mungkin negara akan menjadi negara maju pada 2020 sekiranya rakyatnya tidak bekerja, mendapat gaji rendah, dan tidak merasai kualiti hidup yang baik.

Masalah bertambah apabila pertumbuhan gaji di Malaysia pada tahun dalam lingkungan 5.2 peratus pada tahun 2019, sama dengan tahun 2018.

Hakikatnya, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hampir separuh rakyat Malaysia berpendapatan rendah, iaitu RM1,700 ke bawah. Maka ini merupakan masalah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tahun 2020.

Pekerja asing murah dan tidak berkemahiran dalam industri merupakan faktor gaji di Malaysia sukar berubah. Sedar atau tidak, gaji median pekerja asing telah meningkat sebanyak 40 peratus, daripada RM950 pada tahun 2013 kepada RM1,335 pada tahun 2016. Peningkatan gaji median bagi pekerja tempatan hanya mencatatkan peningkatan 27.1 peratus, iaitu RM1,700 pada tahun 2013 kepada RM2,160 pada tahun 2016.

Walaupun peningkatan gaji pekerja asing ini dilihat kekal rendah berbanding pekerja tempatan, tetapi kos mereka yang rendah menarik minat majikan untuk terus menggunakan mereka dalam industri.Mengapa perkara ini berlaku? Sebab sikap industri yang melengahkan usaha kehadapan bagi menjana produktiviti tinggi, enggan melabur dalam persiapan teknologi dan kebergantungan kuat kepada buruh murah.

Laporan The Global Competitiveness 2017–2018 menyatakan Malaysia di tangga ke-46 daripada 137 negara dunia bagi persediaan teknologi dengan mata sebanyak 4.90 berbanding negara jiran, Singapura sebanyak 6.09 mata dan Jepun 5.72 mata.

Laporan Bank Negara Malaysia 2017 menyaksikan hampir 40 peratus pekerja asing berada dalam sektor produktiviti rendah, di bawah RM100,000 iaitu dalam sektor pertanian dan pembinaan. Mereka juga sanggup bekerja dalam tempoh waktu yang panjang dalam meingkatkan produktiviti kerja.

Bukankah dengan penggunaan teknologi dan mesin dapat menggantikan pekerja asing, maka ia boleh meningkatkan produktiviti dan memberi tawaran gaji lebih tinggi kepada rakyat tempatan?

Ternyata, kehadiran pekerja asing ini, walaupun dalam bidang produktiviti rendah sebenarnya telah mewujudkan persaingan kepada orang tempatan dan faktor kelembapan syarikat menggunakan teknologi. Dapatan ini berbeza dengan kajian Khazanah Research Institute (KRI) pada awal Januari 2019, menyatakan pekerja asing mendominasi pekerjaan berkemahiran rendah dan tidak mempunyai kesan kepada pekerja tempatan.

Sedangkan ada rakyat Malaysia sanggup bekerja di Australia di ladang pertanian dan buah-buahan dengan gaji sekitar RM3,000 dan RM4,000 sebulan.

Ada rakyat Malaysia menjadi buruh tanpa izin di Korea Selatan dengan gaji RM2,000 seminggu dalam pelbagai sektor berkemahiran rendah. Maka, dakwaan rakyat Malaysia tidak mahu kerja yang sukar amat kurang tepat. Semua ini berlaku kerana tawaran gaji yang tinggi!

Dalam menguruskan isu ini, majikan dan industri perlu mempunyai kesanggupan untuk mengubah kadar gaji. Kerajaan Pakatan Harapan telah memberi komitmen untuk meningkatkan gaji berdasarkan Janji 34.

Sebanyak 50 peratus kos untuk menaikkan gaji minima akan ditanggung kerajaan bersama majikan.

Kerajaan akan menampung RM250 manakala majikan menampung RM250 untuk menaikkan gaji minima kepada RM1,500.

Dasar ini perlu diambil oleh majikan untuk memastikan gaji pekerja tempatan meningkat. Tidak perlu hanya menunggu dasar gaji minima berubah. Walaupun gaji minima kini berjumlah RM1,100, tetapi ia tidak akan membantu kalau syarikat tidak mengambil tindakan selanjutnya untuk menaikkan gaji pekerja.

Kualiti pendidikan perlu diubah mengikut kehendak pasaran pekerjaan. Latihan dan kemahiran harus memberi pulang ekonomi kepada pelajar.

Pada tahun 2018, gaji median bulanan graduan politeknik Singapura meningkat daripada S$2,235 (RM6,732) kepada S$2,350 (RM7,079), peningkatan sebanyak 5.15 peratus dari tahun 2017.

Berbanding graduan teknikal Malaysia, hanya ditawarkan oleh syarikat swasta dengan gaji median bulanan sebanyak RM1,700 atau kurang RM3,000. Situasi ini bukti pendidikan dan latihan di Malaysia masih kurang mendapat tempat dalam pasaran.

Revolusi Industri (IR 4.0) akan meletakkan 54 peratus pekerjaan berkemahiran serdahana dalam risiko bagi 10 atau 20 tahun akan datang. Jika kualiti pendidikan dan latihan tidak berubah, maka pelajar tidak mahir akan menampung beban dan risiko dalam pasaran kerja dan tidak mendapat gaji yang setimpal.

Kita hanya perlukan ‘kesanggupan industri’ dalam mengubah kadar gaji rendah, ‘kesanggupan politik’ untuk memastikan pekerjaan dan gaji memberi pulangan kepada warga tempatan, ‘kesanggupan rakyat’ untuk meningkatkan kemahiran bagi mendapat gaji yang setimpal sebelum 2020, mahupun tahun 2030.

Kualiti pendidikan perlu diubah mengikut kehendak pasaran pekerjaan. Latihan dan kemahiran harus memberi pulang ekonomi kepada pelajar.

(This article was first published in Kolumnis Awani on March 19, 2019.)

Majikan perlu jadi Pencetus Pembangunan Pekerja dan Negara (16 April 2019)

Fakhrurrazi Rashid, CIVICA Research Associate & Koordinator Program, Research For Social Advancement (REFSA)

Malangnya, syarikat di Malaysia masih tidak bersedia untuk menggunakan automasi dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti pekerja. 

SEMASA Program Pelaburan 2019 pada bulan Mac lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi tahap kehidupan rakyat turut diambil kira.

Beliau turut menegur majikan yang membayar pekerja dengan gaji yang rendah. Tun Dr. Mahathir telah menggesa majikan mengubah pemikiran mereka seperti seorang ‘stakeholders’ (pemegang taruh), dengan membayar gaji pekerja setimpal dengan keuntungan syarikat untuk  merapatkan jurang pendapatan majikan dan pekerja.

Teguran perdana menteri itu selari dengan Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018, mendedahkan nasib pekerja tempatan yang dibayar dengan gaji rendah dan sikap kurang prihatin majikan atas gaji dan kebajikan pekerja.

Menurut laporan BNM 2018, kadar upah setiap pekerja  telah menurun kepada 3.6 peratus pada 2017 berbanding 5.8 peratus pada tahun 2015, meskipun produktiviti pekerja meningkat kepada 3.8 peratus berbanding 3.5 peratus pada tahun 2015.

Menariknya, bahagian pendapatan pekerja di Malaysia hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 35.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2017, tetapi kadar ini lebih rendah berbanding Singapura dan Korea Selatan yang mencatatkan sebanyak 44.8 peratus daripada KDNK. 

Ternyata, majikan menerima bahagian pendapatan yang lebih banyak kepada KDNK berbanding pekerja tempatan. Secara tidak langsung, ia telah melebarkan jurang pendapatan  antara majikan dan pekerja.Sebanyak 36 peratus peningkatan bahagian pekerja pada tahun 2010 hingga 2017 disebabkan bahagian pendapatan pekerja berkemahiran rendah dan sederhana meningkat. Mereka ini dibayar dengan gaji bawah RM2,000.

Pada tahun 2017, peratusan pekerjaan berkemahiran rendah meningkat sebanyak 16 peratus berbanding lapan peratus pada tahun 2010. Pekerjaan berkemahiran tinggi pula menurun kepada 37 peratus pada tahun 2017 berbanding 45 peratus pada tahun 2010. 

Perkara ini lebih serius apabila 73 peratus pekerjaan pada tahun 2015 hingga 2016 diisi oleh pekerja asing yang tidak berkemahiran. Ini menyebabkan majikan mengekalkan kadar gaji yang rendah. Tentunya, keadaan ini memberi kesan kepada pekerja, khususnya golongan B40.

Pada tahun 2014 hingga 2016, pendapatan golongan B40 secara purata telah meningkat sebanyak 5.8 peratus setiap tahun, tetapi peratusan ini lebih rendah berbanding peningkatan perbelanjaan golongan B40 sebanyak 6 peratus.

Dalam keadaan ini, bagaimana pekerja tempatan ingin mencapai kehidupan yang lebih baik?

Malah, ada majikan yang enggan beralih kepada aktiviti ekonomi yang tinggi seperti penggunaan automasi yang memberi manfaat kepada pekerja tempatan.

Kajian BNM menunjukkan bahawa pekerja yang berkemahiran akan menerima peningkatan gaji premium pada kadar 10 hingga 16 peratus dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4). Kenaikan gaji pekerja berkemahiran ini turut membantu meningkatkan bahagian pendapatan pekerja kepada KDNK menjelang 2020, iaitu sebanyak 40 peratus.

Malangnya, syarikat di Malaysia masih tidak bersedia untuk menggunakan automasi dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti pekerja. 

International Federation of Robotics mendapati Malaysia masih ketinggalan jauh dalam penggunaan robot dalam sektor pembuatan. Pada tahun 2016, nisbah robot yang digunakan oleh sektor pembuatan tempatan sebanyak 34 robot untuk setiap 10,000 orang pekerja, lebih rendah  berbanding negara seperti Singapura, 488 robot untuk setiap 10,000 orang pekerja dan Thailand sebanyak 45 robot.

Malaysia memerlukan majikan yang mempunyai kemampuan untuk melabur kepada pembangunan pekerja. Hasil keuntungan syarikat perlu dikongsi secara saksama supaya kuasa membeli pekerja meningkat dan secara langsung menyumbang kepada ekonomi negara.

Mereka perlu sedar bahawa tahap gaji pekerja perlu bersesuaian dengan keadaan ekonomi. Dalam hal ini, majikan perlu telus dalam memberi informasi tentang gaji pekerja.

Verve, sebuah syarikat teknologi di UK memberi akses informasi mengenai gaji setiap pekerja dan CEO dan amalan ini telah menghapuskan keraguan dan jurang pendapatan antara pekerja dan majikan. Pekerja juga lebih jelas akan tugas mereka dan boleh membuat perancangan kerjaya dalam syarikat.

Tidak mustahil perkara ini boleh dipraktikkan oleh majikan di Malaysia. Tetapi, ia memerlukan sistem urus tadbir dan kesanggupan majikan bersikap telus dengan pekerja.

Majikan atau syarikat perlu melabur dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi. Pelaburan Malaysia dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada KDNK masih rendah, iaitu sekitar 1.7 peratus berbanding negara seperti Korea Selatan (4.3 peratus) dan Jepun (3.4 peratus).

Pelaburan penyelidikan ini mampu mencipta teknologi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti. Ia mampu menjimatkan kos syarikat dalam jangka panjang dan boleh meningkatkan gaji pekerja. Malah, keuntungan yang diperoleh juga boleh dilaburkan kepada persediaan melatih pekerja untuk menjadi lebih mahir dan produktif.

Secara ringkasnya, majikan perlu keluar daripada zon selesa, menjadi ‘pencetus’ dalam merealisasikan impian Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, dipacu oleh aktiviti ekonomi berkualiti tinggi dan memastikan taraf hidup pekerja bertambah baik dengan membayar gaji mereka dengan setimpal. Peranan mereka amat penting untuk masa hadapan pembangunan pekerja dan negara.

(This article was first published in Kolumnist Awani on 16 April 2019.)