Mampukah Anak Muda Mendominasi Parlimen? (05 JULY 2021)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (REFSA) dan rakan penyelidik Civica Research

“… penglibatan anak muda dalam sukarelawan dan aktivisme ketika pandemik telah membentuk pandangan mereka yang lebih luas dan memahami setiap cabaran dihadapi rakyat di lapangan. “

Pada 30 Jun 2021, Inter Parliamentary Union (IPU) menyambut Hari Parlimen Sedunia ke-132 bertemakan “I Say Yes to Youth in Parliament” (Saya sokong anak muda berada di parlimen). Tema ini agak menarik kerana ia bersifat pandang ke hadapan meskipun IPU mempunyai pelbagai legasi yang boleh diceritakan.

Sejak beberapa tahun yang lalu, perdebatan mengenai penglibatan anak muda di dalam parlimen menjadi wakil rakyat semakin diterima ramai, khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 119 bagi  menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan menjadi pengubah keadaan politik negara.

Situasi politik negara yang masih di takuk lama telah mendorong anak muda menyertai politik supaya masa depan mereka  tidak lagi ditentukan oleh pemimpin politik yang lemah.

Hakikatnya, jumlah ahli parlimen muda di Dewan Rakyat ketika ini masih lagi rendah. Berdasarkan komposisi Dewan Rakyat, hanya 12 peratus daripada 222 ahli parlimen di bawah usia 40 tahun dan hanya dua ahli parlimen yang berusia bawah 30 tahun, iaitu ahli parlimen Muar dan Batu.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2020, umur penengah di Malaysia adalah 29.2 tahun. Ia bermaksud separuh daripada populasi di Malaysia adalah golongan berumur 30 tahun ke bawah, tetapi jumlah wakil rakyat di parlimen tidak menggambarkan demografi sebenar.

Maka, perkara ini perlu ditambahbaik dengan segera. Persoalannya, mampukah anak muda mendominasi parlimen sedangkang krisis politik dan pandemik dilihat telah menjadi punca anak muda menjarakkan diri mereka daripada parlimen dan politik.

Perspektif Politik Baharu

Ada segelintir anak muda berhadapan dengan defisit kepercayaan terhadap institusi parlimen dan politik negara, lebih-lebih lagi ketika pandemik. Pertama mereka kecewa dengan institusi parlimen yang dilihat hanya tempat perebutan kuasa. Kedua, mereka muak dengan ahli politik  yang merendahkan dan sukar menerima pandangan anak muda secara terbuka.

Tetapi, pandemik juga telah membina perspektif baharu anak muda dalam menilai baik buruk situasi politik negara dengan lebih menyeluruh. Pertama, anak muda amat mementingkan politik berasaskan fakta dan sains berbanding seni politik kosong yang tidak berdasarkan fakta dan bersifat populis.

Kedua, pandemik telah membentuk kumpulan anak muda cenderung membincangkan isu-isu dasar seperti kelestarian alam sekitar, pendidikan, ekonomi, dan kesihatan yang memberi manfaat kepada semua pihak berbanding politik sentimen dan identiti.

Ketiga, penglibatan anak muda dalam sukarelawan dan aktivisme ketika pandemik telah membentuk pandangan mereka yang lebih luas dan memahami setiap cabaran dihadapi rakyat di lapangan.

Meskipun ada anak muda lebih selesa membuat kerja lapangan dan kebajikan sebagai platform terbaik untuk membantu rakyat, bukankah ia lebih baik sekiranya anak muda menggunakan semangat aktivisme yang ada dengan menjadi ahli parlimen bagi merangka dasar negara yang boleh membantu berjuta rakyat Malaysia?

Perubahan-perubahan ini adalah satu perkembangan yang baik dan dakwaan bahawa anak muda ‘kurang makan garam’ sudah tidak relevan.  Anak muda juga seharusnya berjiwa besar dan melihat diri mereka sebagai harapan utama rakyat dan negara untuk bangkit daripada krisis yang masih tidak menentu.

Perubahan Yang Perlu Dilakukan

Langkah untuk meramaikan anak muda di dalam parlimen perlu dimulakan dengan ‘meremajakan’ pendekatan parti politik itu sendiri. Pemimpin muda harus menjadi barisan hadapan parti politik dan diletakkan di kawasan yang berpotensi menang dalam pilihan raya.

Tidak ada jalan pintas kepada anak muda untuk mendominasi parlimen. Suka atau tidak, orang muda perlu bersaing dalam pilihan raya demi menempatkan diri mereka di dalam parlimen. Kalah atau menang adalah adat pertandingan, tetapi anak muda perlu menawarkan sesuatu yang baik untuk meyakinkan rakyat.

Apabila rakyat menerima idea anak muda dan menterjemahkan ia dalam bentuk undi dengan memenangi pilihan raya, ia sudah cukup membuktikan anak muda mempunyai mandat untuk memimpin negara dan mampu membungkam politik lapuk yang sering menyakitkan hati rakyat.

Saya yakin, parti politik atau mana-mana organisasi yang bersikap terbuka kepada anak muda sebenarnya mampu memenangi  pilihan raya dan membentuk kerajaan yang lebih berfungsi untuk mentadbir negara.

Tetapi, perlu ditegaskan bahawa menambah kuota dan jumlah wakil rakyat muda di parlimen bukanlah indikator tunggal yang menunjukkan politik Malaysia sudah matang. Realinya, ada segelintir pemimpin muda yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat akhirnya menggunakan kedudukan untuk terpalit dengan rasuah, berfikiran politik lama, dan sanggup menggadaikan prinsip dan maruah demi merebut jawatan sehingga meminggirkan mandat rakyat.

Apa yang lebih penting adalah kita perlukan seramai mungkin pemimpin muda yang jujur dan mampu menyampaikan idea segar demi membina Malaysia yang lebih baik, khususnya dalam fasa pemulihan pandemik. Rakyat kini mula sedar hanya anak muda satu-satunya harapan yang mereka ada untuk membetulkan hala tuju negara yang kian celaru akibat krisis pandemik dan politik.

Sistem demokrasi berparlimen juga perlu peka kepada anak muda dan bersedia menerima perubahan dengan menyediakan lebih banyak ruang kepada anak muda terlibat dalam proses membuat dasar, tidak kira sama ada dalam sesi libat urus dan siasatan di peringkat jawatankuasa pilihan khas. Anak muda ini perlu dipandang sebagai rakan strategi parlimen dan kerajaan dalam tadbir urus negara dan bukan hanya melibatkan diri untuk mengundi pada pilihan raya sahaja.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di SOLIDARITAS pada 05 July 2021)

Mampukah Parlimen berperanan semula? (29 April 2021)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) dan rakan penyelidik Civica Research

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan media memberitahu bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk membuka semula Parlimen sama ada sebelum atau selepas tamat Darurat pada 1 Ogos 2021.

Selain itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut menjelaskan sidang Parlimen tidak berlaku buat masa ini demi menjaga kesihatan ahli Parlimen dan kakitangan yang lain. 

Persoalan juga timbul apabila kenyataan media tersebut langsung tidak menyentuh komitmen kerajaan untuk menyegerakan perbincangan mengenai dasar ekonomi dan perancangan yang lebih rapi menangani pandemik sekiranya Parlimen dibuka semula.

Terlihat bahawa kerajaan PN tidak bersedia berunding dengan ahli Parlimen dalam isu rakyat dan bersikap dominan dalam membuat keputusan.

Begitu juga dengan keputusan melaksanakan darurat. Kerajaan PN melaksanakan darurat tanpa perbincangan bersama dengan ahli Parlimen ketika sesi Belanjawan 2021.

Keputusan menggantung fungsi Parlimen telah meletakkan ketelusan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam keadaan kritikal.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) tidak berfungsi untuk melakukan semak dan imbang terhadap tadbir urus kerajaan. 

Sejak kali terakhir Parlimen bersidang pada Disember 2020, kedudukan ekonomi rakyat bergerak secara perlahan.

Kadar pengangguran di Malaysia setakat Februari dilaporkan sekitar 4.8%.  Kadar pengangguran belia di Malaysia pada tahun 2020 adalah 12%, iaitu lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional.

Tinjauan Merdeka Center baru-baru ini menyatakan hampir 70% rakyat merasakan ekonomi masih tidak pulih sejak setahun yang lalu.

Ketika rakyat mengalami kesempitan hidup, perdana menteri menyatakan kerajaan sudah tidak cukup wang untuk membiayai bantuan rakyat. Sebanyak RM600 bilion telah dibelanjakan kerajaan PN untuk mengatasi Covid-19 dan merangsang ekonomi negara.

Soalnya, mengapa ekonomi masih tidak pulih sekiranya kerajaan Muhyiddin membelanjakan beratus bilion ringgit untuk merangsang ekonomi? Adakah pengurusan kewangan kerajaan PN benar-benar membantu rakyat? Ke mana wang itu pergi?

Kini, Ordinan Darurat memberi kuasa kepada perdana menteri, ketua menteri dan menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan dan dana Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat.

Baru-baru ini, kerajaan PN mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakn dana KWAN sebanyak RM 5 bilion untuk perolehan vaksin dan RM14.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Sekali lagi, ia memperlihatkan didominasi pihak eksekutif membuat keputusan dalam menentukan ekonomi Malaysia tanpa kerjasama pelbagai pihak, khususnya ahli Parlimen.

Limitasi ahli Parlimen untuk mengawal selia kewangan boleh menyebabkan berlaku ketirisan dan salah guna dana yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ahli ekonomi dan rakyat juga ingin tahu apakah perancangan kerajaan untuk menampung semula dana yang telah digunakan agar generasi akan datang berpeluang hidup dengan selesa?

Perbelanjaan tanpa perancangan untuk meningkatkan tahap ekonomi masa hadapan bukanlah satu tindakan yang tepat dalam menguruskan masalah negara pasca pandemik Covid-19.

Namun, fungsi Parlimen dibawah pentadbiran PN tidak dipandang penting.

Sejak sesi Parlimen dibuka lewat tahun lalu, pelbagai peraturan yang dikenakan untuk menghadkan partisipasi ahli parlimen menyuarakan pandangan mereka. Sidang Parlimen berlangsung  sehingga jam 2.00 petang dan hanya 80 orang ahli Parlimen dibenarkan di dalam Dewan sidang.

Berlaku pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat secara mengejut bagi menjamin kawalan eksekutif terhadap Parlimen. Masa perbahasan amat terhad dan pelbagai undang-undang yang mahu digubal kerajaan bagi menghadapi krisis Covid-19 dibuat secara terburu-buru.

Malah, sehingga hari ini, proses melakukan persidangan secara maya menggunakan teknologi masih belum dicapai Parlimen Malaysia.

Apakah kerajaan PN boleh memberi jaminan bahawa pembukaan sidang Parlimen selepas tamatnya darurat akan memberi ruang kepada ahli Parlimen seluas-luasnya dalam proses semak dan imbang dasar kerajaan?

Mampukah Parlimen berperanan semula dalam mengembalikan maruah dan kehidupan rakyat yang lebih baik berbanding sekarang?

Ramai yang mengharapkan institusi Parlimen dapat berfungsi dengan baik selepas perubahan kerajaan 9 Mei 2018. Tetapi, hasrat ini tidak kesampaian selepas kerajaan PN hari ini tidak mempunyai kesanggupan politik untuk menjadikan Parlimen sebagai institusi yang berperanan dalam membina semula asas yang baik buat Malaysia pasca pandemik.

Dominasi eksekutif dalam proses Parlimen kini semakin serius sehingga melenyapkan fungsi parlimen yang sebenar.

Hakikatnya, tidak ada pihak yang menghalang kerajaan untuk melakukan sekatan dan peraturan yang penting bagi mengekang penularan pandemik, termasuklah memberi laluan kepada kerajaan membuat keputusan pantas bagi membantu rakyat.

Namun, kerajaan PN telah mendominasi terlalu banyak proses membuat dasar ekonomi dan menghadkan peranan parlimen pada tahap yang kritikal. 

Covid-19 telah mendedahkan kelemahan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia sehingga ia tidak dipandang sebagai rakan strategik badan eksekutif dalam mengendalikan krisis kesihatan.

Sekiranya kelemahan ini tidak dibaiki dengan segera, ia boleh mewujudkan sebuah jemaah menteri diluar batasan demokrasi dalam mengendalikan tadbir urus negara.

Apa yang lebih membimbangkan sekiranya situasi politik hari ini menyebabkan rakyat tidak yakin akan sistem demokrasi negara dan berpandangan mereka tidak memerlukan Parlimen untuk mentadbir negara.

Tiba masa kerajaan kembali ke Parlimen dan membina semula institusi ini agar ia benar-benar berkesan untuk mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik berbanding menekan Parlimen sehingga ia boleh menjejaskan prinsip asas demokrasi negara dalam tempoh jangka masa yang panjang. 

Suka atau tidak, Parlimen merupakan jantung kepada demokrasi negara dan ia adalah perkhidmatan penting untuk memastikan nasib setiap rakyat terbela dan kepentingan negara dipertahankan. 

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insight pada 29 April 2021)

Parlimen belum juga guna teknologi setelah pandemik (24 Januari 2021)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) dan rakan penyelidik Civica Research

Dalam situasi sukar ini, kerajaan masih berfikir cara lama dengan meminggirkan peranan Parlimen yang sepatutnya dijadikan rakan strategik untuk membendung wabak Covid-19 secara bersama.

PANDEMIK Covid-19 memberi satu ujian besar kepada perjalanan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Oleh kerana perjumpaan fizikal secara beramai-ramai adalah sesuatu yang berisiko tinggi, maka persidangan Parlimen secara fizikal juga tidak selamat dan mudah terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19. 

Perkara ini telah menyebabkan ramai ahli Parlimen mendesak supaya parlimen dijalankan secara maya (virtual) ketika pandemik Covid-19 belum reda. 

Persidangan secara maya merupakan perkara baharu yang belum dieksprementasikan di parlimen Malaysia dan ia dilihat penting untuk memastikan parlimen kekal berfungsi pada waktu pandemik.

Namun, persidangan Parlimen secara maya kian mustahil selepas pengisytiharan darurat telah menggantung fungsi badan legislatif di peringkat persekutuan dan negeri. 

Keputusan terburu-buru ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan badan eksekutif dalam menjalankan pentadbiran tanpa semakan parlimen sepanjang tempoh darurat.

Malah, pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi komitmen untuk melaksanakan persidangan Parlimen secara maya dan ia tidak pernah dibahaskan oleh parlimen sejak dua persidangan yang lepas. 

Urusan Parlimen pada 2020 berjalan seperti “biasa” dengan SOP yang ketat serta waktu yang terhad.

Fokus kerajaan ketika itu hanyalah meluluskan Belanjawan 2021 selepas kedudukan majoriti PN tidak kukuh. 

Ketika kerajaan sedang meraikan kelulusan Belanjawan 2021, mereka tidak memikirkan usaha untuk membincangkan cadangan meminda Peraturan Mesyuarat untuk membenarkan persidangan secara maya. 

Apa yang lebih mengecewakan apabila kerajaan PN gagal membahaskan persiapan awal menghadapi gelombang Covid-19 seterusnya di Parlimen. 

Sikap optimis kerajaan PN yang bergantung kepada retorik Belanjawan 2021 dan kelemahan menjalankan tadbir urus negara menjadi faktor utama kes Covid-19 meningkat mendadak.

Dalam situasi sukar ini, kerajaan masih berfikir cara lama dengan meminggirkan peranan Parlimen yang sepatutnya dijadikan rakan strategik untuk membendung wabak Covid-19 secara bersama.

Kerajaan PN lebih gemar memilih pendekatan perutusan khas kerana ia bebas daripada tekanan Parlimen dan merupakan satu persembahan yang telah membelakangkan isu penting untuk membicarakan dasar ekonomi dan persediaan kerajaan untuk menambahbaik situasi rakyat dan negara. 

Amalan ini menonjolkan imej “perdana menteri bekerja keras” tetapi ahli Parlimen dilihat rakyat sebagai individu tidak melakukan tugas. 

Optik diberikan melalui perutusan khas ini telah menutup hakikat sebenar yang dihadapi ahli parlimen apabila tugas mereka telah disekat kerajaan PN dengan menggantung peranan Parlimen ketika pandemik Covid-19. 

Rakyat sebenarnya mahu melihat wakil rakyat mereka bekerja dan menyuarakan pandangan dan kritikan di Parlimen terhadap kelemahan tadbir urus kerajaan mengendalikan krisis pandemik dan ekonomi.

Institusi Parlimen bukan sahaja tempat untuk menyemak kejujuran kerajaan, tetapi ia turut membicarakn soal sokongan ekonomi dan kebajikan rakyat yang sering dilupakan kerajaan ketika membentuk sesuatu dasar dan program, terutama sekali kumpulan yang tidak bernasib baik dan berpendapatan rendah.  

Sebab itu persidangan secara maya dapat merancakkan lagi akses wakil rakyat untuk bersemuka dengan kerajaan secara terbuka untuk membawa isu rakyat untuk tindakan lanjut kerajaan secepat mungkin.  

Ironinya, pendekatan secara virtual telah digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan untuk mengadakan perjumpaan secara maya sama ada urusan dalam atau di luar negara. 

Parti-parti politik kerajaan menggunakan mesyuarat agung parti menggunakan pendekatan maya dengan beratus-ratus delegasi di seluruh negara. 

Badan kehakiman dan mahkamah di Malaysia mula mengadaptasi teknologi melakukan perbicaraan secara maya.

Namun, persidangan Parlimen secara maya masih lagi “mustahil” dilakukan pihak kerajaan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 

Tafsiran baharu tatacara Parlimen

Sering kali alasan sekatan peruntukan perlembagaan persekutuan dijadikan alasan untuk melengahkan parlimen mengadaptasi persidangan secara maya.

Sekatan tersebut bukanlah berpunca daripada kelemahan perlembagaan persekutuan mahupun peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi setiap tafsiran yang berkait dengan tatacara Parlimen perlu diubah, menggunakan pendekatan baharu yang memenuhi tuntutan semasa negara. 

Contohnya Perkara 62(5) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ahli Parlimen tidak hadir persidangan tidak dibenarkan mengundi.

Adakah ahli Parlimen yang menyertai persidangan secara maya tidak boleh mengundi kerana dianggap tidak hadir ke Parlimen secara fizikal? 

Tafsiran istilah “tidak hadir” boleh diperincikan lebih lanjut memandangkang konteks semasa telah berubah dan tidak bergantung kepada kehadiran fizikal semata-mata. 

Perkara 62(1) memberikan kuasa Parlimen menentukan tatacara sendiri dalam menguruskan persidangannya.

Jadi, kerumitan yang dinyatakan pihak kerajaan PN hanyalah satu alasan untuk menafikan hak ahli parlimen menguji keberkesanan rancangan dan pelakansaan mereka. 

Jika benar pihak kerajaan menghormati ketinggian Parlimen, mereka boleh sahaja membenarkan ahli parlimen membahas dan bersama-sama melakukan perancangan nasional bagi mengatasi Covid-19 secara strategik.

Ahli Parlimen perlu diberikan hak mengundi untuk menentukan keputusan terbaik buat kerajaan bagi megelakan kesilapan lama berulang. 

Semua perkara ini dapat dilakukan dengan segera sekiranya persidangan parlimen secara maya dapat direalisasikan sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020. 

Perkhidmatan Parlimen begitu penting ketika krisis. Meskipun kita harus akui bahawa pendekatan semak dan imbang secara maya mempunyai kelemahan, tetapi ia bukan satu alasan untuk kerajaan dan Parlimen melengahkan penggunaan teknologi dalam urusan Parlimen. 

Pendekatan teknologi ini bukan sahaja tertumpu kepada soal ketelusan terhadap kerajaan, tetapi ia merupakan satu integrasi antara kerajaan dan masyarakat bekerjasama menghadapi cabaran Covid-19. 

Kita harus akui Parlimen Malaysia masih jauh dalam mengadaptasi persidangan Parlimen secara maya.

Usaha mengadaptasi teknologi kepada institusi Parlimen perlu diperbahaskan secara rancak.

Ia tidak seharusnya tertumpu kepada krisis hari ini, tetapi melihat kepada persediaan Parlimen untuk menempuh cabaran pada masa hadapan. 

Peristiwa pihak kerajaan meminggirkan peranan Parlimen sewaktu pandemik tidak boleh diulang lagi agar ia tidak menyusahkan generasi akan datang.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insight pada 24 Januari 2021)

Peruntukan parlimen dipinggirkan Belanjawan 2021 (18 November 2020)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) dan rakan penyelidik Civica Research

“…hampir 40% daripada jumlah peruntukan parlimen secara keseluruhan bagi Belanjawan 2021.”

Kerajaan harus menambah peruntukan Parlimen dengan mengurangkan dana yang diterima oleh jentera ‘politik’ berkepentingan parti pemerintah, Fakhrurrazi Rashid menulis.

Institusi Parlimen terus mendapat peruntukan yang rendah dalam Belanjawan 2021.

Peruntukan parlimen hanya meningkat RM163,000 atau 0.1% kepada RM145.3 juta jika dibandingkan peruntukan sebanyak RM145.1 juta dalam Belanjawan 2020.

Dibawah kerajaan Pakatan Harapan, peruntukan kepada Parlimen telah meningkat daripada RM137.4 juta dalam Belanjawan 2019 kepada RM145.1 juta pada Belanjawan 2020, iaitu peningkatan sebanyak RM 7.7 juta atau 5.3%.

Komitmen untuk menambah peruntukan parlimen dalam Belanjawan 2020 selari dengan usaha menambahbaik fungsi Parlimen dengan pembentukan 11 buah jawatankuasa pilihan khas bagi menyemak dan mengimbangi tadbir urus kerajaan.

Namun, peruntukan parlimen yang masih kekal rendah dalam Belanjawan 2021 mencerminkan kerajaan Perikatan Nasional tidak begitu serius dalam memastikan perubahan perkhidmatan parlimen yang kian penting dalam menyelesaikan isu rakyat dan negara yang semakin mencabar. Parlimen seolah-olah dipinggirkan dalam Belanjawan 2021.

Belanjawan ‘politik’ kerajaan PN

Apa yang mengecewakan adalah Belanjawan 2021 memberi peruntukan yang besar kepada jentera ‘politik’ berkepentingan parti pemerintah berbanding menyalurkan dana tersebut untuk menambah baik sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Pertama, kerajaan memberi RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai alat propaganda kerajaan

Jumlah peruntukan Jasa ini ialah hampir 40% daripada jumlah peruntukan parlimen secara keseluruhan bagi Belanjawan 2021.

Ini merupakan amalan tadbir urus yang tidak munasabah dan ia sekali lagi mempamerkan kelemahan kerajaan PN. Apakah justifikasi memberi dana kepada badan politik jika perdana menteri yakin tadbir urusnya mendapat sokongan rakyat dan Parlimen?

Kedua, Jabatan Perdana Menteri menerima penambahan dana yang besar, daripada RM7.9bn pada tahun 2020 kepada RM11.6bn pada Belanjawan 2020, peningkatan sebanyak RM3.8bn atau 32.4%

Peningkatan dana jabatan ini seolah-olah mengembalikan semula kuasa besar kepada perdana menteri dalam membuat keputusan tanpa semak dan imbang.

Adakah ini bermaksud perdana menteri merupakan institusi yang paling berkuasa berbanding Parlimen yang mendapat peruntukan rendah?

Ketiga, peruntukan RM8.8 juta bagi membantu jentera politik PN yang dipanggil ‘penggerak komuniti tempatan’

Ia berperanan seperti ahli majlis yang menyebarkan dasar kerajaan di negeri dan kawasan pembangkang.

Program ini menyediakan hampir 288 jawatan yang bakal diisi ahli politik PN sebagai alat propaganda dengan mendapat elaun bulanan sebanyak RM2,000 dan peruntukan RM10,000 setahun untuk mengadakan program kawasan.

PeKT ini secara terang-terang cuba menganggu hak dan tugas-tugas wakil rakyat pembangkang yang dipilih oleh rakyat secara demokratik. Jadi, mengapa tidak peruntukan tersebut diagihkan kepada ahli parlimen pembangkang jika benar-benar ingin membantu rakyat?

Semak semula, beri kepada Parlimen

Wajar sekiranya peruntukan-peruntukan politik dalam Belanjawan 2021 seperti Jasa, Jabatan Perdana Menteri dan ‘penggerak komuniti tempatan’ dibatalkan, seterusnya diagihkan kepada peruntukan perkhidmatan parlimen yang begitu penting dalam menyelesaikan isu rakyat dan negara pada waktu krisis ini.

Jadi, apakah kebaikan sekiranya dana politik ini disalurkan kepada Parlimen?

Pertama, Parlimen boleh memperluaskan kakitangan mereka dan membuka peluang pekerjaan kepada graduan atau orang muda, terutamanya dalam bidang penyelidikan parlimen bagi membantu wakil rakyat dalam menganalisis dasar kerajaan.

Kedua, jawatankuasa pilihan khas dapat ditambah lebih banyak bagi menyemak dan mengimbangi dasar kerajaan PN yang mempunyai jumlah kementerian yang besar. Jumlah jawatankuasa pilihan khas boleh ditambah melebihi 10 jawatankuasa pilihan khas bagi menyemak tadbir urus atau dasar setiap kementerian.

Ketiga, Parlimen juga boleh menaik taraf infrastruktur teknologi supaya ia boleh bergerak secara maya (virtual) pada waktu yang kritikal seperti Covid-19. Ia penting bagi memastikan Parlimen terus berfungsi tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.

Keempat, peruntukan kawasan kepada ahli parlimen juga boleh diberikan secara saksama. Contohnya, pembatalan dana RM8.8 juta bagi program penggerak komuniti tempatan membolehkan peruntukan ini disalurkan kepada setiap ahli parlimen bagi membantu kebajikan rakyat dan pembangunan kawasan, khususnya kepada ahli parlimen pembangkang yang dinafikan dana rasmi daripada pihak kerajaan.

Hakikatnya, Belanjawan 2021 tidak seharusnya dibelanjakan untuk kepentingan politik kerajaan PN untuk meluaskan pengaruh mereka. Perkara ini tidak wajar dilakukan ketika rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dalam menguruskan masalah mereka melalui saluran yang betul dan berpelembagaan.

Perdana menteri sepatutnya mempunyai iltizam politik untuk memastikan Parlimen berfungsi dengan baik, bukan mewujudkan badan propaganda politik kerajaan untuk mendapat sokongan rakyat.

Dalam keadaan sekarang, ahli parlimen perlu mendesak kerajaan untuk menambah peruntukan parlimen dengan mengurangkan dana yang diterima oleh Jabatan Perdana Menteri, Jasa dan ‘penggerak komuniti tempatan’, yang secara prinsipnya tidak menghormati peranan institusi berparlimen yang kini ditekan oleh kerajaan PN.

Jika tindakan ini gagal dilaksanakan, maka ia akan menggugat fungsi demokrasi berparlimen dan kebebasan parlimen akan diperkecilkan oleh pihak eksekutif untuk masa hadapan.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di Aliran pada 18 November 2020)

Mampukah Parlimen Malaysia menjadi lebih baik? (11 Ogos 2020)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) dan rakan penyelidik Civica Research

Parlimen Malaysia – Wikimedia Commons

Apa yang diperlukan sekarang ialah kerjasama rakyat sebagai kuasa ketiga untuk memastikan Parlimen Malaysia tidak menjadi parlimen buruk, ujar Fakhrurrazi Rashid.

Pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020 telah mengundang kekecewaan rakyat selepas Yang di-Pertua ke-sembilan, Mohamad Ariff Mohd Yunus, telah digantikan dengan Azhar Azizan Harun.

Peralihan yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional tanpa asas yang kukuh telah meletakkan risiko kepada hala tuju parlimen Malaysia.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat berperanan untuk mengekalkan kebebasan, integriti dan keberkesanan Parlimen daripada dikuasai badan Eksekutif. Tujuan ini bagi mencapai sebuah tadbir urus yang cekap dan telus demi mempertahankan kepentingan rakyat.

Selepas 9 Mei 2018, komitmen pembaharuan Parlimen telah digerakkan oleh Mohamad Ariff. Hasil daripada aspirasi rakyat yang dahagakan perubahan, pelbagai penambahbaikkan institusi Parlimen dilaksanakan seperti penubuhan jawatankuasa pilihan khas. Terdapat 10 jawatankuasa begini telah berjaya ditubuhkan, antaranya ialah untuk bajet dan pilihan raya.

Penubuhan jawatan kuasa pilihan khas ini membolehkan Parlimen menyemak ketelusan keputusan kerajaan dalam tadbir urus mereka. Ahli parlimen juga terlibat dengan proses membuat keputusan yang melibatkan dasar awam dalam jawatankuasa itu sendiri.

Perubahan penting ini telah membuka semula institusi Parlimen untuk membahaskan kepentingan rakyat dengan lebih meluas dan menyeluruh. Persoalannya, adakah Parlimen kita mampu menuju ke arah yang lebih baik selepas insiden pertukaran Yang di-Pertua ini?

Parlimen yang baik lawan Parlimen buruk

Perkembangan institusi Speaker di House of Commons, UK telah bermula pada 1376, pada era yang dipanggil The Good Parliament (Parlimen yang Baik). Era ini dipanggil sebagai parlimen yang baik kerana kesungguhan ahli House of Commons untuk melawan jenayah rasuah dan ketirisan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Raja Edward III.

Sebelum era ini berlaku, House of Commons tidak bersidang hampir dua tahun kerana ketakutan penasihat Edward III berhadapan tekanan ahli parlimen yang kritikal kepada ketirisan yang telah mereka lakukan.

Ketika itu, parlimen telah melantik ahli parlimen Herefordshire, Peter de la Mere, sebagai Speaker House of Commons. Peter de la Mere telah memutuskan parlimen membuat semakan ke atas pembendaharan England, bagi mengenalpasti ketirisan yang dilakukan pemerintahan Edward III.

Parlimen telah memanggil penasihat raja yang didakwa melakukan jenayah rasuah untuk disiasat. Kemudian, ahli Majlis Penasihat Raja seperti Richard Lyons, Lord Latimer dan Alice Perrers telah dipenjarakan kerana didapati telah melakukan penyelewengan kuasa dalam pentadbiran kerajaan.

Era parlimen yang baik ini tidak bertahan lama kerana John of Grunt, anak kepada Edward III, telah membatalkan usaha era parlimen yang baik dengan memberi keampunan kepada penasihat raja yang didapati melakukan rasuah untuk kembali menganggotai Majlis Penasihat. Era ini dipanggil sebagai The Bad Parliament (Parlimen Buruk) yang berlaku pada 1377.

John of Grunt telah melantik Thomas Hungerford (yang merupakan pilihan utama John) sebagai Speaker dan memenjarakan Peter de le Mere, seorang Speaker yang telah berusaha melawan rasuah. John mengisytiharkan bahawa era parlimen yang baik tidak berperlembagaan dan perlu dipadamkan daripada rekod sejarah.

Meskipun sejarah ini berbeza dari segi konteks dan masa, tetapi ia telah memberi asas kepada peranan Speaker, khususnya pada era demokrasi moden.

Speaker berintegriti dapat memastikan fungsi parlimen berkesan untuk mewujudkan tadbir urus kerajaan yang telus seperti era Parlimen yang Baik. Sekiranya Speaker didominasi pemerintah, maka parlimen sukar memastikan kerajaan menlaksanakan tugas dengan cekap dan berintegriti seperti era Parlimen Buruk.

Rakyat penentu kedaulatan Parlimen

Di Malaysia, usaha rejuvenasi Parlimen kepada The Good Parliament berlaku secara efektif pasca 9 Mei 2018, selepas rakyat kecewa dengan peranan Parlimen yang agak lemah di zaman Barisan Nasional untuk menyemak ketelusan kerajaan yang terlibat dalam kes rasuah dan skandal besar seperti 1MDB.

Mohamad Ariff komited mengembalikan roh dan peranan parlimen daripada sebuah institusi rubber stamp selama enam dekad kepada parlimen berpaksikan aspirasi rakyat. Apa yang rakyat mahukan adalah sebuah parlimen yang berfungsi untuk memastikan badan eksekutif cekap dalam melaksanakan dasar yang baik demi kesejahteran rakyat dan negara.

Namun, pelantikan Azhar Harun sebagai Yang di-Pertua baharu telah membangkitkan persoalan tentang keberlangsungan reformasi parlimen yang telah dilaksanakan sebelum ini. Walaupun prestasinya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya agak baik, kemampuan Azhar Harun untuk meneruskan agenda reformasi parlimen bukan sesuatu yang mudah.

Mohamad Ariff telah meletakkan satu asas pencapaian yang tinggi dalam agenda reformasi parlimen dalam waktu yang agak singkat. Maka, Azhar Harun perlu membuktikan kemampuannya meneruskan perubahan parlimen melebihi pencapaian Mohamad Ariff.

Kredibiliti Yang di-Pertua baharu ini dikritik hebat selepas mengeluarkan surat kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menamatkan perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB Najib Razak lebih awal agar ahli parlimen Pekan dapat membahaskan ucapan titah diraja. Sedangkan, Najib Razak boleh sahaja menukar tarikh atau giliran baharu sekiranya tarikh perbicaraan bercanggah dengan waktu perbahasan tersebut.

Persoalannya, adakah Parlimen Malaysia kini menuju era parlimen buruk (bad parliament) di bawah Yang di-Pertua yang baharu?

Saya berpendapat bahawa Azhar berhadapan dengan cabaran getir untuk membentuk Parlimen Malaysia yang lebih baik memandangkan beliau berhadapan tekanan daripada pihak eksekutif yang mencadangkan dirinya sebagai Yang di-Pertua. Tekanan ini akan menyebabkan Parlimen Malaysia ke arah era parlimen yang buruk semula.

Tidak dinafikan, Azhar merupakan individu yang terkenal dengan prinsipnya, tetapi prinsip tersebut bakal diuji sekiranya Yang di-Pertua baharu ini gagal melindungi kebebasan dan fungsi Parlimen daripada didominasi badan Eksekutif yang sering meremehkan peranan Parlimen dalam pentadbiran negara.

Apa yang diperlukan sekarang ialah kerjasama rakyat sebagai kuasa ketiga untuk memastikan Parlimen Malaysia tidak menjadi bad parliament. Rakyat ialah penentu kepada kedaulatan Parlimen dan perlu giat melibatkan diri dalam proses membuat keputusan di Parlimen.

Pendidikan dan advokasi tentang kepentingan demokrasi berparlimen penting untuk diperluaskan kepada generasi baharu agar institusi ini terus menjadi tunjang dan nadi kepada kehidupan rakyat. Usaha seperti memperbaharui modul pendidikan kenegaraan, dialog dan perbincangan tentang pembaharuan parlimen perlu dipergiatkan lagi di peringkat generasi muda. Penggunaan teknologi, inovasi dan kreativiti seperti Parlimen Digital juga adalah satu platform terbaik untuk mendekatkan diri anak muda memahami dan menghargai nilai institusi Parlimen yang berfungsi dengan berkesan.

Matlamat Parlimen Malaysia untuk menjadi “parlimen yang baik” tidak cukup. Sebaliknya, Parlimen perlu menjadi institusi yang lebih baik daripada hari ini, demi manfaat rakyat dan generasi pemimpin masa hadapan.

Jika Parlimen masih ditakuk lama, maka institusi ini akan terus menjadi alat politik pemerintah dan gagal mempertahankan kepentingan rakyat untuk berhadapan ‘normal baharu’, yang tidak memberi sebarang jaminan pada masa hadapan.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di Aliran pada 11 Ogos 2020)

Sudahkah Anda Mendaftar Sebagai Pengundi?

Diambil dari laman web SPR https://mysprdaftar.spr.gov.my/

Sudahkah anda bersedia untuk pilihanraya yang akan datang? Jangan gusar!

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menubuhkan MySPR yang memudahkan kita untuk mendaftar sebagai pengundi secara online. Jika anda dan rakan-rakan, atau keluarga masih belum mendaftar, sila layari laman web https://mysprdaftar.spr.gov.my/ dan ikuti langkah-langkah yang seterusnya.

Pastikan anda menghantar dokumen-dokumen yang berikut:

  1. Nama penuh dan alamat berdasarkan Kad Pengenalan / MyKad anda.
  2. Nombor telefon yang boleh dihubungi.
  3. Alamat emel yang boleh dihubungi.
  4. Gambar bahagian hadapan Kad Pengenalan / MyKad anda.
  5. Sebuah selfie dengan Kad Pengenalan / MyKad anda.

*Hanya mereka yang berumur 21 tahun ke atas dapat mengundi.

Kepentingan perbahasan ucapan titah diraja bagi menyemak ketelusan kerajaan (21 Mei 2020)

Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) dan rakan penyelidik Civica Research

Sidang Parlimen Malaysia

Tanpa perbahasan, ia seolah-olah memberi mesej ‘salah’ kepada rakyat bahawa institusi Parlimen tidak penting, ujar Fakhrurrazi Rashid.

Saya membaca laporan berita Astro Awani tentang pandangan Profesor Madya Shamrahayu Ab Aziz, yang mengulas sidang Parlimen pada 18 Mei dalam masa sehari. Terdapat dua premis yang diberikan Shamrahayu.

Pertama, persidangan Parlimen sehari sah berdasarkan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Beliau menambah bahawa ketiadaan perbahasan pada sidang 18 Mei wajar.

Kedua, Shamrahayu menyatakan ahli parlimen tidak boleh mempertikaikan ucapan titah diraja pada pembukaan sidang Parlimen. Beliau memetik definisi titah daripada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang membawa maksud perintah dan arahan.

Kedua-dua premis yang dibawa Shamrahayu telah memberi konotasi dan fakta yang tidak mencerminkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelambagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Profesor emeritus Shad Saleem Faruqi melihat sidang Parlimen selama sehari amat dikesali dari sudut amalan demokrasi walaupun ia selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Shad Saleem melihat kepentingan perkhidmatan Parlimen untuk membahas dan meminda akta tertentu agar ia memberi jaminan keselamatan dan ekonomi buat rakyat berdepan kebiasaan baharu akibat Covid-19.

Jelas sekali pandangan Shad Saleem Faruqi telah menjawab premis pertama Shanrahayu yang hanya mengambil isu teknikal Perlembagaan Persekutuan tanpa mempertimbangkan suasana semasa negara yang berhadapan krisis ekonomi.

Hujah Shamrahayu umpama menggugat ‘roh’ Parlimen sebagai sebuah institusi yang tertegak untuk membela keadilan dan solidariti rakyat pada saat-saat yang genting ini.

Ucapan dasar kerajaan perlu semakan Parlimen

Bagi menjawab premis kedua Shamrahayu, Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas Yang di-Pertuan Agongsebagai ketua negara boleh menyampaikan titah diraja ini sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara pada pembukaan Parlimen setiap tahun.

Titah diraja merupakan amalan tradisi parlimen Westminster yang dipanggil “throne speech”. Dalam amalan parlimen era-moden, ucapan titah diraja dipanggil “ucapan dasar” pihak kerajaan. Mengapa ia dipanggil ucapan dasar kerajaan?

Titah diraja mengandungi butiran lanjut mengenai perancangan, dasar, prestasi dan hala tuju kerajaan sepanjang tahun tersebut untuk dimaklumkan kepada Parlimen.

Isi kandungan dan ucapan titah diraja ditulis sendiri oleh jemaah menteri dan kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berucap di hadapan Parlimen. Hal ini berpatutan dengan Perkara 40 (1) menjelaskan Yang di-Pertuan Agong sebagai raja berpelembagaan yang bertindak atas nasihat jemaah menteri.

Maka, ucapan titah diraja pada 18 Mei telah menggariskan dasar dan keutamaan kerajaan dalam mendepani ‘kebiasaan bahru’ dalam soal ekonomi rakyat, negara dan cabaran pandemik Covid-19 yang dijangkakan masih memerlukan perancangan yang lebih inklusif.

Menjadi satu amalan di Dewan Rakyat apabila ahli Parlimen perlu meneliti, menyemak dan membahas dasar kerajaan yang terdapat dalam titah diraja. Perbahasan ini bertujuan untuk menambah baik dan memberi ruang kepada ahli Parlimen membangkitkan isu-isu rakyat untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan memperuntukan sekurang-kurangnya lima hari untuk ahli Parlimen membahaskan usul “menjunjung kasih” titah titah diraja, diikuti sesi penggulungan menteri dalam menjawab segala isu yang dibangikitkan oleh ahli Parlimen ketika waktu perbahasan.

Pada penggal pertama, mesyuarat pertama Parlimen ke-14, sebanyak 13 hari telah diperuntukkan oleh Yang di-Pertua kepada ahli Parlimen untuk membahaskan titah diraja dan menteri menggulung perbahasan.

Kemudian, usul titah diraja ini perlu diundi di Dewan Rakyat sebelum dibahaskan di Dewan Negara.

Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi rakyat dan negara yang kian meruncing, maka perbahasan di Parlimen dalam soal nasib rakyat dan perancangan ekonomi negara perlu disegerakan,

Namun, titah diraja pada 18 Mei telah menyaksikan ahli Parlimen tidak diberikan ruang berbahas dasar kerajaan dalam ucapan titah diraja. Notis daripada Dewan Rakyat tidak menerangkan secara spesifik bilakah undian ke atas titah diraja akan mengambil tempat.

Risiko undi titah diraja kepada kestabilan kerajaan

Notis yang dikeluarkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga menyatakan bahawa sidang Parlimen akan tamat selepas ucapan titah diraja selesai tanpa perbahasan dan undian daripada ahli Parlimen. Persoalannya, mengapa pihak ketua majlis tidak meneruskan kedua-dua proses tersebut?

Bagi saya, keputusan ini merupakan susunan politik untuk mengelakkan ujian awal kerajaan Perikatan Nasional atas sokongan dan legitemasi mereka di parlimen.

Menurut badan pemikir, Institue of Government, UK, ucapan titah diraja penting kerana ia menguji kemampuan kerajaan memperolehi sokongan majoriti Parlimen. Undian ucapan titah diraja merupakan salah satu kaedah untuk membuat undi tidak percaya kepada perdana menteri.

Kerajaan yang mempunyai majoriti di Parlimen tidak akan berhadapan dengan masalah ketika undian titah diraja berlangsung. Tetapi, kerajaan minoriti atau mempunyai majoriti yang tipis akan menghadapi ujian yang agak mencabar untuk memastikan ahli parlimen tidak menolak ucapan titah diraja.

Situasi ini pernah berlaku di UK pada tahun 1924 apabila ucapan titah diraja kerajaan Konservatif dibawah Perdana Menteri Stanley Baldwin ditolak ahli parlimen UK. Tetapi, penolakan ucapan titah diraja ini jarang berlaku memandangkan parti pemerintah mempunyai kedudukan majoriti di parlimen.

Di Malaysia, ucapan titah diraja tidak pernah ditolak oleh Parlimen. Perkara ini atas beberapa dakwaan tidak berasas mengatakan ahli Parlimen yang menolak ucapan titah diraja dianggap sebagai menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Sejauh manakah dakwaan ini benar?

Ahli parlimen hanya mengkritik dasar kerajaan yang terkandung dalam ucapan titah diraja, bukan keperibadian Yang Di-Pertuan Agong. Perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan menghalang ahli Parlimen dan sesiapa sahaja mengkritik kepribadian dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, menyemak atau mengkritik dasar kerajaan dalam ucapan titah diraja merupakan tanggungjawab ahli Parlimen dan bukan mengancam institusi raja.

Atas risiko undian ucapan titah diraja ini, maka ia boleh menjadi faktor kerajaan PN hanya menghadkan sidang parlimen 18 Mei kepada ucapan titah diraja tanpa sebarang perbahasan atau undian.

Persoalannya, bilakah akan berlakunya perbahasan titah diraja dan adakah undian titah diraja akan berlaku? Perkara ini perlu diperjelaskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan ketua majlis Parlimen.

Oleh sebab itu, keputusan mengadakan sidang selama sehari tanpa perbahasan titah diraja dilihat tidak berpatutan memandangkan terdapat pelbagai perkara berkaitan jaminan ekonomi dan kesihatan yang perlukan perbincangan yang lebih komprehensif di Parlimen.

Tanpa perbahasan titah diraja, ia seolah-olah memberi mesej ‘salah’ kepada rakyat bahawa institusi Parlimen tidak penting apatah lagi ketika negara berhadapan dengan krisis Covid-19.

Malah keputusan kerajaan membawa pindaan undang-undang dan perbahasan pada bulan Julai akan menyebabkan rakyat terdedah dengan risiko krisis ekonomi yang lebih tinggi berdepan Covid-19. Adakah persidangan Julai ini akan memberi ruang seadilnya untuk ahli Parlimen meneliti dan membahaskan pindaan akta?

Kesemua ulasan ini bukan semata-mata menyangkal premis ‘separuh masak’ Shamrahayu yang gagal menjelaskan kerangka demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan kepada rakyat. Tetapi, ia sebagai satu perspektif dalam mengeluarkan institusi parlimen yang dipandang hanya sebagai institusi politik yang tidak berubah sejak beberapa dekad yang lalu.

Punca kuasa institusi parlimen terletak dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan dengan memetik definisi daripada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang akhirnya menimbulkan salah faham rakyat atas undang-undang tertinggi negara.

(Artikel ini pertama kali diterbitkan di Aliran pada 21 Mei 2020)

Apa Fokus Sistem Pendidikan Negara? (20 October 2018)

Muhd Fadhil Abdul Rahman, CIVICA Research Associate & Senior Research Officer, Merdeka Center

Pada hari ini, sekolah dilihat sebagai ‘pusat jagaan’ berbanding institusi keilmuan, pusat pembangunan insan dan pembinaan karakter.

SOAL pendidikan sememangnya satu topik yang tidak asing lagi di bumi Malaysia. Baik dari peringkat rendah, sehingga menengah dan pendidikan tinggi, komitmen terhadap aspek pendidikan acap kali dititikberatkan oleh kerajaan.

Tetapi kita harus mempersoalkan, sejauh mana sistem pendidikan sedia ada melahirkan individu-individu yang hidup berlandaskan nilai moral, manis tutur kata dan murni budi pekerti?

Sistem pendidikan Malaysia kini, dipenuhi isu-isu asas.

Sistem pendidikan Malaysia kini, seolah keliru dengan identiti.

Dan masalah-masalah yang timbul, bermula dari kecelaruan fokus yang tidak berpenghujung.

Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik, menyuarakan hasrat dan idea beliau untuk melahirkan kelompok pelajar yang lengkap serba-serbi, dengan reformasi yang menyeluruh – disertai perancangan untuk memperbaharui infrastruktur dan keperluan wajib.

Walau bagaimanapun, sistem pendidikan kita perlu dilengkapi komponen ‘jiwa’ yang luhur, ikhlas untuk membuahkan modal insan yang berkualiti – bukan sekadar ‘output’ intelek yang berteraskan pencapaian teori.

Apabila kanak-kanak dipaksa untuk mengharungi liku-liku pembelajaran tanpa memahami teras ilmu berkenaan, maka bercambahlah golongan yang bersifat ‘one-dimensional’, hanya melihat matlamat hakiki dan alpa meneliti proses mandiri.

Boleh kita persoalkan, kenapa kadar keciciran di Malaysia begitu tinggi – kira-kira 500,000 orang terkeluar daripada sistem, mengikut pecahan statistik Kementerian Pendidikan.

Boleh kita bincangkan, apakah alasan para ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah – demi membolehkan anak-anak mencari sesuap nasi untuk keluarga tersayang.

Dan boleh juga didebatkan, mengapa statistik kes jenayah dalam kalangan kanak-kanak meningkat secara drastik.

Dan bagaimana pula dengan kebajikan kanak-kanak serta para remaja yang terbiar, apabila tiada pemantauan dari pihak berwajib?

Pada hari ini, sekolah dilihat sebagai ‘pusat jagaan’ berbanding institusi keilmuan, pusat pembangunan insan dan pembinaan karakter.

Selaras dengan semangat Malaysia baru, kita wajar menumpukan aspek rohaniah, seiring dengan keperluan lahiriah. Kefahaman tentang konsep pendidikan perlu disertai keinginan untuk membentuk personaliti yang murni, dan insan yang berwawasan.

Di sebalik cita-cita memperkukuh produk pendidikan negara, perkembangan awal perlu diteliti dengan sebaik mungkin, dengan sepenuh penumpuan pada jati diri dan nilai positif – selaku asas kepada kehidupan yang efektif.

(This article was first published on October 20, 2018.)

Youths Of Today: Highlight Competence, Produce Excellence (20 October 2018)

Muhd Fadhil Abdul Rahman, CIVICA Research Associate & Senior Research Officer, Merdeka Center

Let us groom and assist our successors with the sincerest intention and goodwill, so they will be able to become the ‘change’ that we want them to be.

It was October 15th, 2018. It was a Thursday. But this particular Thursday was captivating, as a 93-year-old man stood firm while articulating his points across in the Malaysian House of Parliament.

In his closing remarks, after more than an hour being the center of attention, this man conveyed a surprising yet timely message – intended towards the younger generation.

His main points: acquire all sorts of knowledge to modernise Malaysia; learn skills, strengthen integrity, grasp religious and moral values; avoid corruption; internalise truth, honesty and justice.

The man’s concise choice of words accurately pinpointed the desired direction of Malaysia’s youths, as a new journey is embarked on.

The man’s name is Tun Dr. Mahathir Mohamad, the 8th Prime Minister of Malaysia, while the occasion was a presentation on the Mid-Term Review of 11th Malaysia Plan.

Malaysian youths of today can be categorised as lucky – proper access to education, presence of technology allowing convenient lives, and abundant resources available all around. Of course, some of these may differ according in terms of socioeconomic factors and environmental make-up, yet generally speaking, most youths are presented with opportunities.

The emergence of visionary youths across Malaysia are exhilarating, appropriately responding to the Prime Minister’s call via innovative efforts. Either through significant design of computer programs, entrepreneurial wonders or creative marketing, we can admit that Malaysia does have its share of homegrown talents, capable of penetrating global markets.

Yet there are saddening statistics and developments with regards to our youths, requiring urgent and emergent endeavour to salvage the potential of an entire generation.

For instance, more than 5,000 babies were born to underage mothers last year[1], while 12,492 cases of underage pregnancy were reported in 2016 (according to Public Health Institute)[2]. Sadly, the same study conducted by Public Health Institute revealed another surprising disclosure: more than 31% of respondents have had sexual experience before the age of 14[3].

In addition, juveniles were involved in 1,254 drug-related and 48 triad-associated cases, plus 1,085 hard crimes 2015 to April 2017 according to data compiled by the Royal Malaysian Police[4].

These reports are terribly saddening and call for immediate actions. Beginning with effective community-based policies and stronger advocacy at all age levels, youths (and juveniles included) must strive to boost self-efficacy, nurturing positive values to drive one’s personality growth.

Exposure to high-level skills, exemplary communication-oriented classes and consistent monitoring by societal members will enhance the maturing process of our young starlets – with the government and its agencies playing consequential roles to ensure all activities adhere to rules and guidelines.

At this day and age, the youths should be allowed to explore and discover their passions, in tandem with their interests. By doing so, more ‘diamonds’ could be unearthed, subsequently given the room to flourish in this globalised world.

Let us groom and assist our successors with the sincerest intention and goodwill, so they will be able to become the ‘change’ that we want them to be.


Related links:

[1] http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/07/23/lahir-bawah-umur/

[2] https://siakapkeli.my/2018/08/26/lebih-31-pelajar-malaysia-pernah-lakukan-hubungan-seksual-sebelum-umur-14-tahun-kajian/

[3] https://siakapkeli.my/2018/08/26/lebih-31-pelajar-malaysia-pernah-lakukan-hubungan-seksual-sebelum-umur-14-tahun-kajian/

[4] https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/10/333390/ramai-juvana-salah-guna-dadah

(This article was first published on October 20, 2018.)

Pendekatan matang dan terbuka semak RUU kembalikan kedudukan Sarawak, Sabah di Parlimen (9 April 2019)

Fakhrurrazi Rashid, CIVICA Research Associate & Koordinator Program, Research For Social Advancement (REFSA)

Perbincangan mengenai hak Sarawak dan Sabah perlu dibawa ke parlimen untuk dibahaskan secara terbuka dan saksama.

MINGGU ini, dunia dihangatkan dengan rundingan Brexit. Kerajaan Britain diberi tempoh hingga 12 April 2019 untuk melengkapkan rundingan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). Keputusan ini menjejaskan sedikit hubungan Britain dan EU selama 44 tahun.

Parlimen Malaysia juga berhadapan dengan perbahasan penting pada minggu ini, apabila Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan kepada kandungan asal sewaktu pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Pindaan ini bagi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah setara dengan Semenanjung. Ini merupakan pindaan pertama perlembagaan persekutuan dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Khamis lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) telah membenarkan RUU ini dibaca kali pertama berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 48, Dewan Rakyat. Tetapi, terdapat suara yang melahirkan rasa bimbang mengenai pindaan ini. 

Sudah hampir satu dekad pemimpin berunding dalam hal ini, maka parlimen merupakan institusi terbaik untuk selesaikan isu ini dengan matang selepas dipenuhi dengan retorik politik yang tidak berkesudahan.

Justeru, bagaimana parlimen boleh memastikan RUU ini dibahaskan dengan pendekatan yang lebih matang?

Bawa RUU kepada Jawatankuasa Pilihan Khas!

Ahli parlimen perlu mengeluarkan satu usul kepada Yang DIpertua Dewan Rakyat untuk meneliti RUU kepada jawatankuasa pilihan khas dibawah PM 54.

Peringkat ini membenarkan penglibatan golongan pakar dan orang awam untuk memberi pandangan mengenai perkara yang berkaitan. Setiap bahagian dan klausa RUU diteliti dan diundi oleh ahli jawatankuasa.Pindaan yang dipersetujui dalam jawatankuasa ini perlu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk diputuskan sebelum bacaan kali ketiga.

Menteri yang membawa RUU perlu memberi penjelasan tentang pindaan yang disyorkan oleh jawatankuasa.

Sekiranya menteri enggan menjelaskannya, maka ia akan memberi kesan kepada kelancaran pindaan tersebut.

Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan atau Menimbang Rang Undang-Undang dilihat mampu menyemak dan mengkaji RUU ini.

Proses ini amalan biasa dalam sistem berparlimen Westminster. Cuma, Malaysia tidak pernah melalui proses jawatankuasa pilihan khas dalam menyemak RUU sebelum ini. Penting sekali ahli parlimen menggunakan peluang ini untuk menyemak RUU yang penting buat Sarawak dan Sabah.

Jawatankuasa pilihan khas parlimen bukan hanya memberi cadangan pindaan RUU tersebut, malah lebih dari itu. Mereka juga boleh melakukan kajian dan laporan untuk menambah baik keputusan rundingan badan eksekutif. Ia akan menambah pelbagai pandangan daripada orang awam dan pakar yang tidak dapat mendapat peluang membentangkan pendapat kepada badan eksekutif.

Dewan Negara sebagai ‘suara kedua’

Dewan Negara boleh menjadi ‘suara kedua’ dalam menyemak RUU ini. Berdasarkan perkara 45, Jadual Ketujuh, perlembagaan persekutuan, ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) telah memilih dua orang Senator mewakili mereka ke Dewan Negara.

Senator mempunyai tugas untuk mempertahankan kepentingan negeri dalam Dewan Negara. Mereka perlu memastikan setiap dasar kerajaan persekutuan tidak bercanggah dengan kepentingan negeri.  Dalam konteks ini, Senator dari Sabah dan Sarawak, khususnya, perlu meneliti dan menyemak RUU ini.

Mereka boleh membawa isu ini untuk pengetahuan DUN dan mengeluarkan beberapa cadangan. Hubungan Senator dan negeri ini amat berkesan untuk menentukan sama ada pindaan RUU ini disokong atau sebaliknya.

Dewan Negara boleh menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri dan Persekutuan dalam meneliti RUU ini. Kuasa ini diberikan berdasarkan PM Dewan Negara 74 (1) dan (2).

Pihak Dewan Negara boleh memulakan proses perbincangan ini lebih awal, memandangkan sidang mereka hanya akan bermula pada 22 April 2019.

Mereka juga boleh menggunakan kuasa ‘melengahkan’ RUU ini sekiranya pindaan RUU yang diluluskan Dewan Rakyat mempunyai kelemahan yang perlu disemak semula.

Perlu diselesaikan dengan matang

Perbincangan mengenai hak Sarawak dan Sabah perlu dibawa ke parlimen untuk dibahaskan secara terbuka dan saksama. Sebelum ini, terdapat beberapa Jawatankuasa ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak untuk membincangkan perkara ini. antaranya

1. Jawatankuasa Pelaksana Pihak Berkuasa Sabah dan Sarawak
2. Jawatankuasa Pemandu
3. Jawatankuasa Teknikal Peringkat Persekutuan
4. Jawatankuasa Perundingan MA63
5. Jawatankuasa Kabinet MA63

Semua jawatankuasa ini ditubuhkan oleh badan eksekutif tanpa melibatkan wakil rakyat di peringkat parlimen mahupun DUN. Situasi ini menggambarkan dominasi badan eksekutif (Jemaah Menteri Persekutuan, Sarawak dan Sabah) dalam rundingan ini tanpa melibatkan badan perundangan.

Dominasi ini menyebabkan segala informasi tentang rundingan hak Sabah dan Sarawak sukar diketahui orang awam, sehingga telah menimbulkan polemik sesetengah pihak. Justeru, perbahasan dan perbincangan di peringkat parlimen ini dapat memberi maklumat yang lebih terbuka.

Secara tidak langsung, ia telah mengurangakan statuts ‘eksklusif’ rundingan ini, kepada pendekatan yang lebih menyeluruh dan saksama. Sekurang-kurangnya, fungsi parlimen sebagai institusi rakyat dapat diangkat sama tahapnya dengan badan eksekutif.

RUU pindaan perlembagaan perlu dilihat dalam konteks untuk mengembalikan semangat persekutuan. Malah, pindaan ini boleh menjadi langkah awal dalam menjaga keakraban antara wilayah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan ini tidak menandakan berakhirnya isu MA63, tetapi ia satu permulaan bagi memperkukuhkan rundingan, khususnya aspek ekonomi dan agihan kekayaan yang berkesan untuk Sarawak dan Sabah sebagai rakan sekutu.  

Isu ini seharusnya menjadikan kita lebih dewasa sebagai sebuah persekutuan yang sudah menjangkau 56 tahun pembentukannya. Maka, peneyelesaian yang saksama dan matang perlu menjadi asas kepada memperkasakan semula hak Sabah dan Sarawak.

(This article was first published in Kolumnis Awani on April 9, 2019.)